August 24, 2013

‘Mama...Adam datang tengok mama’

Adam Noramsar setia mengunjungi pusara ibunya yang terletak 500 meter dari rumah neneknya di Taman Sebang Gemilang, Alor Gajah.

Alor Gajah: "Mama... Adam datang tengok mama,” ayat yang diulang setiap hari oleh seorang anak kecil berusia lima tahun yang melawat pusara ibunya setiap hari sejak lapan bulan lalu, lazimnya selepas jam 6 petang.

Adam Noramsar Syahrizal sama seperti kanak-kanak lain seusianya, sangat gemar bermain tetapi sebaik senja dia akan pulang ke rumah meninggalkan rakan untuk ke pusara ibunya kira-kira 500 meter dari kediaman neneknya di Taman Sebang Gemilang, Pulau Sebang, bagi melepaskan rindu.

Anak yatim piatu ini kehilangan ibunya, Norzalina Ismail, 31, yang meninggal dunia pada awal Januari lalu, akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Empat tahun sebelum itu, Adam Noramsar kehilangan ayahnya, Syahrizal Ibrahim, 29.

Ketika ditemui di kediamannya semalam, neneknya, Kamariah Haroon, 55, berkata setiap hari Adam Noramsar akan ke pusara ibunya dan sanggup meninggalkan rakan sebayanya walaupun sedang bermain di taman permainan.

“Sebaik senja, dia akan terus pulang ke rumah dan memberitahu kami, jam sudah 6 petang dan dia ingin ke kubur melawat ibunya.

“Setiap hari, Adam akan melafazkan ayat dan patah perkataan yang sama dengan tujuan inginkan saya dan anak makcik, Mohd Amirul Helmi, 13, menemaninya ke kubur ibunya yang letaknya hanya kira-kira 500 meter dari rumah.”

Lafaz tulus meruntun hati

“Lafaz tulus dari hatinya itu meruntun hati kami. Dia kehilangan kasih sayang ibu bapa ketika dahagakan kasih sayang mereka.

“Setiap hari apabila sampai di pusara ibunya, Adam akan berkata mama... Adam datang tengok mama, tengok,” katanya dan selepas berdoa serta mengusap batu nisan ibunya, Adam Noramsar akan mengajak mereka pulang sambil merenung pusara ibunya itu.

“Apa yang membuat kami lebih terharu, ketika Aidilfitri baru-baru ini, Adam ke kubur ibunya... berpakaian baju Melayu warna merah seperti diimpikan arwah ibunya ketika masih hidup. Arwah ingin melihat Adam segak berbaju Melayu,” katanya.

Kamariah berkata, bagi membesarkan Adam Noramsar dan Mohd Amirul Helmi, dia hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah, bernilai RM230 selain dibantu dua anak yang bekerja.

Berita Harian 24 Ogos 2013


‘Adam rindu mama’

ADAM mengunjungi pusara ibunya pada hari raya lalu.

KAMARIAH memandang sayu Adam yang kehilangan ibu bapanya pada usia muda.

Alor Gajah: Biarpun dipisahkan kematian, kasih mendalam terhadap ibunya membuatkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun sanggup mengunjungi pusara ibu setiap hari sejak lapan bulan lalu di Taman Sebang Gemilang, dekat sini.

Setiap kali berkunjung ke pusara ibunya, kanak-kanak itu Adam Noramzar Syahrizal akan ‘memberitahu’ ibunya bahawa dia datang menziarah sambil mengucup batu nisan.

Malah, setiap kali melangkah keluar meninggalkan tanah perkuburan itu, air mata pasti berlinangan di pipi Adam selepas memanjatkan doa untuk arwah ibunya, Noorzalina Ismail, 31, yang pergi menghadap Ilahi kerana penyakit radang paru-paru, Januari lalu.

Kanak-kanak itu bergelar yatim piatu kerana bapanya, Syahrizal Ibrahim, 29, terlebih dulu pergi menghadap Ilahi akibat penyakit misteri, hampir lima tahun lalu.

Adam berkata, saban hari dia merindui ibunya dan atas alasan itulah ke pusara pada waktu petang.

myMetro 24 Ogos 2013


Nasib Adam bakal dibela

Alor Gajah: Kisah sedih kanak-kanak yatim piatu menziarahi pusara ibunya setiap hari sejak lapan bulan lalu yang disiarkan Harian Metro semalam mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malah, kunjungan Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun ke rumah Kamariah Haroon, 55, nenek kepada Adam Noramzar, 5, di Taman Padang Sebang, di sini, turut membawa khabar gembira buat keluarga itu.

Azizah berkata, pihaknya akan mengkaji semula jenis bantuan yang akan disalur kepada Kamariah bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan. “Kementerian bersimpati dengan nasib Adam, difahamkan kanak-kanak malang ini terpaksa bergantung kepada neneknya saja, sehubungan itu diharap bantuan susulan yang akan diberikan selepas semakan semula dapat mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan Adam tidak ketinggalan dalam sistem pembelajaran,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Kamariah di kediamannya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri Datuk Latipah Omar, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Che Azman Che Harun dan Pegawai JKM Daerah, Shahrawati Shahbudin.

Sementara itu, Kamariah berkata, tidak menyangka menerima kunjungan Azizah dan menyambut baik sebarang bentuk bantuan yang bakal disalur kepada keluarganya.

myMetro 25 Ogos 2013


Ambil iktibar kisah Adam

NORPIPAH (dua dari kiri) dan wakil pertubuhan belia serta NGO mengunjungi Adam.

Alor Gajah: Ketabahan adik Adam Noramzar Syahrizal, 5, menziarahi pusara ibunya setiap hari sejak lapan bulan lalu mendapat perhatian pelbagai pihak yang mengunjunginya hampir setiap hari sejak kisahnya disiarkan akhbar ini, Sabtu lalu.

Keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian memberi sumbangan sekurang-kurangnya dapat meringankan kesedihan serta kerinduan ditanggung anak yatim piatu itu terhadap arwah ibunya Noorzalina Ismail, 31. Malah, pelbagai pihak menonton kisah sedih kanak-kanak itu di laman YouTube dikeluarkan MyMetro TV yang terus melonjak melebihi 100,000 tontonan.

Adam yang tinggal bersama neneknya Kamariah Haron, 55, di Taman Sebang Gemilang, Padang Sebang di sini, turut dikunjungi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri Datuk Norpipah Abdol, petang kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Sahabat Belia Jabatan Ketua Menteri Norsuria M Kamis, Presiden Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah (MGBD) Mohd Zaidi Mohamad, Pegawai Kanan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri Abdul Lazim Abdullah dan lebih 20 wakil daripada pelbagai pertubuhan belia Melaka.

Norpipah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, dia terpanggil menziarah selepas terbaca kisah sedih dan ketabahan Adam mengharungi hidup tanpa ibu bapa disiarkan Harian Metro.

myMetro 29 Ogos 2013


‘Adam datang ziarah mama’

ADAM ditemani Kamariah ketika mengunjungi pusara ibu di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang.

Alor Gajah: “Asalamualaikum mama, Adam datang tengok mama,” itu ayat diulang Adam Noramsar Syahrizal, 6, setiap kali melawat pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Pulau Sebang di sini, yang meninggal dunia Januari tahun lalu.

Adam kini yatim piatu selepas kehilangan kasih sayang ibu bapanya yang terlebih dulu pergi menghadap Ilahi.

Sejak pemergian bapanya Syahrizal Ibrahim, 29, empat tahun lalu disusuli ibunya Norzalina Ismail, 32, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru, Adam menumpang kasih dengan neneknya Kamariah Haroon, 56, di kediaman wanita itu di Padang Sebang.

Menurut Kamariah, dia sebak setiap kali mengenangkan nasib cucunya yang kehilangan dua insan tersayang di saat masih dahagakan kasih sayang.

“Pagi semalam (kelmarin), Adam terjaga daripada tidur dan merengek kerana rindukan ibunya sebelum mengajak saya menziarah kubur arwah.

Namun saya memujuknya untuk tidur semula memandangkan ketika itu jam 4 pagi.

“Adam menangis dan menyatakan arwah ibunya datang di dalam mimpi dan ingin berjumpa dengannya,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi pusara Norzalina, semalam.

Kisah Adam yang pernah disiarkan Harian Metro pertengahan Ogos tahun lalu, membuka mata masyarakat setempat.

Ia meninggalkan pelbagai mesej berguna berikutan tindakan kanak-kanak itu melawat pusara ibunya setiap petang.

Malah, sambutan orang ramai yang menonton cerita pendeknya di laman YouTube sungguh menggalakkan dan sehingga kini jumlah penonton melawat laman berkenaan melebihi 200,000.

Kamariah berkata, sempena sambutan Hari Ibu hari ini, dia dapat merasakan Adam ceria dan akan terus melawat pusara ibunya.

myMetro 11 Mei 2014

3 comments:

  1. tak sanggup nak baca sampai habis...rasa nak ambil anak ni untuk bagi all the kasih sayang yang dia perlukan.

    ReplyDelete
  2. Semoga Adam diberikan Allah kesabaran..kekuatan dan ketabahan. I wanna hug u so badly and comfort your soul little one...warm hug and kiss on ur cheek and says it is alright. Kalau boleh nak amik adam and give you all the love that you need. :-(

    ReplyDelete