June 15, 2013

Pelajar rentung, banglo maahad tahfiz di Tikam Batu terbakar

ORANG ramai melihat keadaan asrama Mahaad Tahfiz Al Barakah yang terbakar di Kampung Masjid, Tikam Batu, awal pagi tadi. Gambar kecil, Aiman Nur Hakim Yahaya, 13, mangsa yang rentung dalam kejadian itu. - Foto Omar Osman Jun 15, 2013 9:22 am


Rumah dua tingkat yang diubahsuai dan dijadikan asrama pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab) di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat sini, hangus terbakar dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 2 pagi tadi.- Foto Bernama 

Maahad Tahfiz terbakar, seorang maut, 2 cedera

SUNGAI PETANI - Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, dekat sini, maut manakala dua rakannya cedera dalam satu kebakaran di asrama Maahad berkenaan, awal hari ini.

Mangsa yang maut ialah Aiman Nurhakim Yahya, 13, yang merupakan penuntut tahun satu yang memulakan pengajian awal tahun ini.

Mangsa yang cedera ringan ialah Meor Amirul Meor Mohd Ghazali, 16, dan Mohamad Muaz Halim, 14.

Seorang pelajar yang terselamat, Mohammad Iszuddin Mohd Iszam, 14, berkata sewaktu kejadian pukul 2 pagi itu, dia sedang tidur bersama rakan-rakannya sebelum dikejutkan seorang rakannya yang menyedari api mulai marak.

"Bila terjaga, saya terus kejutkan empat lagi rakan yang tidur di tingkat atas termasuk Aiman yang tidur di bahagian hujung bilik. Semua rakan yang lain sudah bangun dan keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

"Kami sangka Aiman juga sudah keluar rupa-rupanya dia masih berada di dalam.

Api marak dengan dengan cepat kerana bahagian atas rumah adalah papan, kami tidak sempat nak lakukan apa-apa untuk membantu Aiman," katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian hari ini.

Sementara itu, Pengetua (Mudir) Mantab Zamri Arshad berkata Mantab beroperasi kira-kira tiga tahun lalu, dan jumlah pelajar yang masih menuntut ialah seramai 20 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

"Sebelum ini mereka tinggal di bangunan yang sama dengan bangunan pejabat dan kelas, namun dipindahkan ke sebuah rumah yang dibeli di kawasan berhampiran pada awal tahun ini kerana bilangan pelajar hampir 40 orang.

"Memandangkan pelajar kini 20 orang, kami bercadang untuk memindahkan mereka kembali ke bangunan asal dalam minggu ini.

Dengan kejadian yang meragut nyawa salah seorang pelajar di sini, pelajar diberi cuti dan waris mereka akan dimaklumkan untuk membawa anak-anak pulang sementara urusan penginapan baru diselesaikan," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Penaung Mantab, Anuar Md Isa, yang juga imam masjid Kampung Masjid berkata rumahnya terletak tidak jauh daripada asrama itu dan dia yang terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi bising, tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat.

"Sebelum pelajar-pelajar ditempatkan di asrama berkenaan, beberapa pengubahsuaian sudah dilakukan termasuklah memasang sistem pendawaian elektrik yang baru.

Namun, saya difahamkan punca kebakaran dipercayai disebabkan berlakunya litar pintas.

"Kita berasa sedih dengan peristiwa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zamri di talian 012-5661613 atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Islam Maahad Tahfiz Al-Barakah 07043011030975.

Dalam pada itu, jenazah Aiman Nurhakim yang dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat, dijangka dibawa pulang oleh keluarganya ke rumah mereka di Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang untuk dikebumikan.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kedah Ahmad Shahabuddin berkata kebakaran di Maahad Tahfiz itu melibatkan sebuah bangunan separa kekal iaitu separuh kayu, manakala bahagian bawahnya batu, menyebabkan api merebak dengan cepat.
 
"Apabila sampai ke lokasi, kebakaran sudah lebih 50 peratus dan kami dimaklumkan bahawa ada mangsa hilang. Apabila anggota masuk ke dalam, didapati bahawa mangsa sudah rentung. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
 
Ahmad berkata dua jentera masing-masing daripada Balai Bomba Tikam Batu dan Sungai Petani dengan 16 anggota, digerakkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran.
 
Sementara itu, kejadian yang meragut nyawa seorang pelajar itu, turut mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka Ali Yahya.
 
Ali yang turut turun ke lokasi kejadian, berkata beliau bersimpati dengan kejadian yang menimpa Maahad berkenaan dan akan melihat bantuan yang dapat diusahakan untuk membantu keluarga mangsa yang terlibat dan maahad terbabit.
 
"Saya difahamkan terdapat 20 pelajar di Maahad ini namun hanya 16 daripada mereka yang ada di asrama sewaktu kebakaran. Saya akan memanjangkan perkara ini kepada pengetahuan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, untuk melihat bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan bagi membantu mereka.

Saya juga akan berbincang dengan Exco Agama mengenai bentuk bantuan yang dapat disalurkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian. - Bernama

15 Jun 2013


Asrama terbakar, pelajar Maahad Tahfiz rentung

Gambar Berita Harian

Gambar Berita Harian

SUNGAI PETANI 15 Jun - Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab) rentung manakala dua lagi cedera selepas sebuah rumah banglo yang dijadikan asrama terbakar di Kampung Masjid, Tikam Batu dekat sini awal pagi ini.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 1.45 pagi ketika mangsa, Aiman Nur Hakim Yahya, 13, bersama 15 rakannya tidur di asrama berkenaan.

Aiman Nur Hakim yang rentung keseluruhan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mior Amirul Mior Mohd. Ghazali, 16, dan Muaz Halim, 16, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan.

Penaung maahad itu, Anuar Md. Isa yang juga Imam Masjid Al-Barakah berkata, dia mula menyedari kebakaran itu selepas terdengar bunyi riuh di kawasan asrama.

"Sebaik sahaja membuka tingkap rumah, saya nampak api marak di kawasan asrama. Saya bergegas ke tempat kejadian dan apabila tiba didapati 15 pelajar berjaya melarikan diri manakala Aiman Nur Hakim terperangkap di dalam," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Anuar berkata, tidak lama kemudian sepasukan anggota dan pegawai bomba dan penyelamat tiba untuk memadamkan kebakaran.

"Saya sedih dengan apa yang berlaku dan Aiman Nur Hakim adalah pelajar contoh," kata Anuar.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Shabuddin berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.

"Api marak dengan cepat kerana sebahagian daripada struktur asrama ini diperbuat daripada kayu," katanya.

Seorang pelajar yang terselamat, Mohd. Daniel Mohd. Zaki, 13, berkata, ramai pelajar berjaya keluar dari bangunan itu dan menjerit meminta pertolongan.

"Kami cuba kejutkan semua rakan namun Aiman Nur Hakim terperangkap dipercayai selepas sesak nafas terhidu asap tebal," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Ali Yahya yang berkunjung ke tempat kejadian berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Mohd. Rawi Abdul Hamid bagi mendapatkan peruntukan khas untuk pembangunan semula pusat pengajian al-Quran itu.

Mayat Aiman Nur Hakim dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Bekah, Penaga, Pulau Pinang petang ini.

Utusan 16 Jun 2013


3 jeritan sebelum diam

GURU Maahad Tahfiz Al-Barakah mengutip cebisan tulang anggota badan mangsa yang rentung.

Sungai Petani: “Aiman! Aiman! Bangun! Bangun! Ada api, rumah terbakar, cepat bangun!’ Bagaimanapun, saya lihat dia langsung tak bergerak sebelum saya terus keluar apabila lihat api makin marak menjilat tingkat dua rumah ini.”

Begitu kata Ahmad Salehuddin Abd Rahim, 16, ketika mengejutkan Aiman Nur Hakim Yahaya, 13, yang ditemui rentung dalam kebakaran di Maahad Tahfiz Al-Barakah, Kampung Masjid, Tikam Batu, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 1.50 pagi ketika semua pelajar terbabit nyenyak tidur di dalam sebuah rumah papan dua tingkat yang dijadikan asrama Maahad Tahfiz itu.

Ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakan tidur di tingkat atas asrama manakala 12 pelajar lain di tingkat bawah.

Mayat mangsa ditemui rentung di bawah timbunan kayu di tingkat bawah rumah terbabit selepas lantai tingkat atas tempat mangsa tidur runtuh oleh anggota bomba dan penyelamat. Selain itu, cebisan tangan dan kaki turut ditemui guru sekolah yang mencari mayat mangsa jam 8 pagi.

myMetro 16 Jun 2013


Mimpi kakak jadi kenyataan

Sungai Petani: Seorang kakak tidak menyangka bermimpi asrama adiknya terbakar tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila Allahyarham Nur Aiman Hakim Yahaya, 13, ditemui rentung dalam kebakaran asrama Maahad Tahfiz Al-Barakah di Kampung Masjid, Tikan Batu, di sini, semalam.

Nur Najwa Fatehah, 17, berkata, dia pernah bermimpi asrama Aiman terbakar, namun tidak pernah beritahu ibu bapanya.

Menurutnya, dia bimbang mengenang perkara berkenaan selain risau keadaan adiknya yang tinggal di asrama itu kerana takut mimpinya menjadi kenyataan.

“Namun jam 7 pagi tadi (semalam) saya terkejut apabila terima panggilan daripada ummi dan ayah memberitahu, asrama adik di Tikam Batu terbakar dan Aiman turut rentung selepas terperangkap dan gagal diselamatkan rakannya.

“Saya tak sangka mimpi itu menjadi kenyataan dan sedih kerana kehilangan adik yang cerdik dan pintar. Kali terakhir bertemunya ketika saya dan ummi melawatnya di depan asrama, Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

“Malah, ketika mahu pulang ke asrama, arwah mencium tangan saya dua kali sedangkan sebelum ini hanya sekali. Itulah pertemuan terakhir hinggalah mendapat berita kematiannya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Hafsah Ahmad, 43, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah pada Sabtu lalu ketika melawatnya di depan asrama di Tikam Batu, dan itu untuk tempoh 30 minit saja.

Katanya, sebelum itu Aiman pulang bercuti di rumah keluarga di Taman Penaga, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang selama dua minggu dan pulang semula ke asrama 1 Jun lalu.

“Ketika bercuti, arwah memberitahu dia berjaya menghafaz juzuk pertama al-Quran dan akan mula menghafaz juzuk kedua sebaik sekolah dibuka,” katanya yang melihat kali akhir arwah keriangan.

myMetro 16 Jun 2013


Otak pelajar tahfiz 'segar' seperti hidup

Keadaan asrama Maahad Tahfiz Al-Barakah yang musnah.

Anuar menunjukkan almari Aiman yang tidak terjejas dalam kebakaran.

TIKAM BATU – Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang membuat liputan tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu.

Namun, apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT.

Ini bukan sahaja dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik mangsa terkorban yang masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan almari besi milik pelajar lain semuanya hangus termasuk pakaian dan barang-barang peribadi lain.

Dalam kejadian itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat mereka menetap.

Barang rakan lain musnah

Menceritakan kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan Al-Barakah yang juga imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata, kesemua pelajar sudah terjaga dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah yang terakhir keluar menyelamatkan diri.

“Kemungkinan arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui tangga, tetapi bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh menyebabkan dia terperangkap dalam api yang marak,” katanya.

Menurut Anuar, apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang peribadi milik arwah yang masih elok tersusun dalam almari miliknya sedangkan barang peribadi rakan-rakan lain semuanya musnah.

“Kalau nak diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat daripada kayu, terpelihara.

“Apa yang saya perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah selalunya diletakkan di luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan letak elok-elok dalam laci. Selipar itu juga masih elok dan tersimpan rapi,” katanya yang mengakui sesuatu keajaiban mengenai peribadi pelajar itu.

Baru lakukan tasmid

Anuar berkata, Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal masuk ke juzuk kedua.

“Dia baru sahaja melakukan tasmid (mendengar bacaan al-Quran) satu juzuk dengan ustaznya bagi membolehkannya memasuki juzuk kedua yang dijangka hari ini (semalam),” katanya.

Lebih memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat ke atas jasad Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang masih hidup, sedangkan anggota badan lain sudah rentung.

“Memang keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat menjelaskan, otaknya masih segar, bersinar seolah-olah milik insan yang masih hidup,” katanya, memuji kekuasaan ALLAH SWT.

Tidak jejas ambilan pelajar

Menurut Anuar, tragedi yang menimpa Mantab langsung tidak mematahkan semangatnya dan tenaga pengajar lain untuk terus mengembangkan syiar Islam dalam usaha melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang.

“Kita baru sahaja menerima seorang pelajar hari ini (semalam). Ini menunjukkan respons positif daripada pihak ibu bapa dan ia (tragedi) sebenarnya tidak menjejaskan pengambilan pelajar,” katanya.

Berhubung soal keselamatan pula, katanya, pihaknya akan meningkatkan ciri-ciri keselamatan di samping menyediakan kelengkapan dan meningkatkan ilmu berhubung keselamatan selain menyediakan prasarana yang layak.

“Setakat ini, pelajar diberi cuti seminggu untuk kita jalankan proses pengurusan, terutamanya melibatkan penempatan pelajar di blok sebelah,” katanya.

Menurut Anuar, kesemua 20 pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun akan dipindahkan ke blok bilik darjah yang sedang diubah suai menjadi tempat penginapan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak yang bersimpati, menyumbang dan membantu pihaknya untuk membangunkan semula maahad tahfiz itu.

Sinar Harian 17 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment