September 3, 2011

Jurukamera BERNAMATV maut ditembak di Somalia

SEBAK ... Naemah Abdul Majid menutup wajahnya tidak dapat menahan perasaan tatkala melihat gambar terakhir anaknya Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor beberapa jam sebelum maut terkena tembakan curi ketika ditemui di kediaman keluarga arwah di Kuala Lumpur, Sabtu. Jurukamera Bernama TV itu maut dalam Misi Kemanusiaan ke Somalia bersama Kelab Putra 1Malaysia semalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 41, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia, malam ini.

Wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya, yang turut serta dalam misi itu berkata, dalam kejadian 10.30 malam waktu Malaysia itu, Noramfaizul bersama rakan media elektronik menaiki trak ke sebuah pusat komersial untuk menghantar berita apabila beliau terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi paru-parunya.

"Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada 11.07 malam waktu Malaysia," katanya.
Waktu Malaysia lima jam lebih awal daripada Mogadishu.

Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media membuat liputan berita tetapi tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Misi tersebut yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur, dijangka pulang 8 September ini. - BERNAMA

2 Sep 2011


Jurukamera BernamaTV terbunuh ditembak di Somalia

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd. Nor, 41, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang semalam waktu tempatan.

Manakala wartawan TV3 Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam ini.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat,” katanya.

Sementara itu, wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat utu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi paru-parunya, dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Norazrina berkata, sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham telah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya,” kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.

Dalam pada itu, Tan berkata, mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan esok.

Beliau berkata, ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi esok.

Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dalam misi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - Bernama

3 Sep 2011


Serang hendap


MOGADISHU: Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, terbunuh selepas ditembak ketika membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di sini, malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia jam 11.15 malam tadi (jam 6.15 petang di Somalia) iaitu kira-kira sejam selepas terkena tembakan curi dipercayai dilepaskan kumpulan pemberontak.

Dalam kejadian serang hendap itu, seorang jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut dilaporkan cedera di tangan terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan secara rambang.

Wartawan Harian Metro, Mohamad Apendy Issahak ketika dihubungi di Mogadishu lewat malam tadi memberitahu, ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang waktu tempatan, Allahyarham bersama petugas media Malaysia sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan di sini selepas melawat kem penempatan dalaman (IDPs) Waveri, dekat sini.

Seramai 53 lagi anggota misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk petugas media bagaimanapun terselamat dalam serangan itu dan mereka kini dalam proses pemindahan ke lokasi selamat.

IMBAS...Noramfaizul (dalam bulatan) bergambar bersama rombongan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sebelum berlepas ke Somalia.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan yang sedang menuju ke hotel.

Sementara itu, wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku ketika Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar laporan berita apabila terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi paru-parunya.

Mangsa yang dibawa masuk ke dalam hotel sejurus selepas kejadian, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.07 malam waktu Malaysia.

Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media Malaysia, tetapi tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Misi berkenaan yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dijangka pulang pada 8 September ini.

Wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam tadi memberitahu Aji Saregar cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) ketika mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh ke belakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mentuanya di Serdang Raya, dekat sini, terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada kira-kira 5.30 pagi waktu tempatan hari ini.

Beliau berkata, ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi, hari ini.

myMetro
3 Sep 2011


Jenazah Noramfaizul dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UPM esok

KUALA LUMPUR: Jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini, esok.

Naib Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Rahman Rahim, yang mewakili keluarga arwah, berkata jenazah akan dikebumikan sebelum Zohor, bergantung kepada keadaan.

Beliau berkata, sejurus tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jenazah akan dimandi, dikapan dan disolatkan di Masjid TUDM sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya.

Rahman memberitahu permberita jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Al-Islah berhampiran rumah ibu bapa Allahyarham untuk disolatkan.

Jenazah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu menaiki pesawat C-130 TUDM bersama anggota misi lain, dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM kira-kira 9 pagi Ahad.

"Segala urusan daripada segi pengangkutan disediakan oleh pihak kami (Kelab Putera 1Malaysia) kepada kaum keluarga arwah, bermula di Subang sehingga disemadikan," kata Rahman.

Noramfaizul, 39, meninggalkan isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki; Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Kejadian 5.40 petang waktu tempatan (pukul 10.40 waktu Malaysia), menyaksikan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul dan petugas media Malaysia lain, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

Allahyarham Noramfaizul adalah sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - BERNAMA

3 Sep 2011


Noramfaizul sering hubungi keluarga ketika di Somalia: Ibu

KUALA LUMPUR: Ibu Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BERNAMA TV yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat di Somalia berkata, anak sulungnya itu kerap menghubungi keluarga untuk menyatakan keadaan beliau sepanjang berada di negara bergolak itu.

Naemah Abd Majid, 63, berkata, keadaan itu agak berbeza kerana sebelum ini Allahyarham hanya menghubungi keluarga menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) apabila menyertai misi ke luar negara.

"Semasa berada di sana, arwah ada menghubungi saya untuk bertanya khabar. Arwah turut menghantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada adik-beradik serta mak cik saudaranya bagi memaklumkan keadaan semasa arwah.

"Dua tahun lalu, semasa arwah menyertai misi kemanusiaan di Gaza, arwah hanya menghubungi kami melalui SMS sahaja tetapi dalam misi kali ini, arwah sedikit berbeza," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Serdang Raya, di sini.

Bapa Allahyarham, Mohd Nor Mat Yasin, 66, pula sempat bercerita bahawa Allahyarham pernah menyatakan hasratnya untuk bermalam bersama keluarganya di Serdang Raya sebelum berlepas ke Somalia.

"Dia ada menelefon saya menyatakan hasrat untuk bermalam di sini sehari sebelum berlepas (27 Ogos) dan beberapa jam kemudian dia menelefon semula dari pejabatnya (Bernama) untuk memaklumkan kami keadaan keretanya yang tidak boleh dihidupkan.

"Beberapa jam kemudian kira-kira jam 10.30 malam, dia tiba bersama salah seorang rakan sepejabatnya yang menumpangkannya. Arwah sempat menyertai keluarga mengadakan kenduri doa selamat untuknya sebelum beliau berlepas," katanya.

Dalam pada itu, suasana sedih dan pilu menyelubungi kediaman keluarga Noramfaizul hari ini walaupun jenazah Allahyarham hanya dijangka tiba esok.

Kaum keluarga, rakan taulan serta beberapa anggota kabinet yang rata-rata terkejut dengan pemergian Allahyarham tidak putus mengunjungi kediaman keluarganya sejak awal pagi tadi untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Turut kelihatan ialah Pengerusi BERNAMA, Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang profesional yang tulen dalam memenuhi tugas dan memperjuangkan nilai kemanusiaan tulen.

"Pemergiannya akan dicatat dalam sejarah BERNAMA," katanya yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Turut melawat ialah Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang, Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Editor BERNAMA TV, Abdul Rahman Ahmad.

Allahyarham Noramfaizul adalah sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Jenazah dibawa pulang ke Malaysia esok menaiki pesawat Charlie C-130 bersama-sama anggota misi lain dan dijangka tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam 9 pagi esok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Trafik Bukit Aman, ACP Fuad Latif ketika ditemui Bernama berkata, polis akan mengiringi van jenazah setibanya dari Lapangan Terbang Subang esok bagi memudahkan perjalanan ke rumah keluarganya dan seterusnya ke tanah perkuburan.

Fuad yang melahirkan rasa simpati beliau ke atas pemergian arwah turut mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga arwah.

Bukit Aman akan sentiasa cuba membantu dari segala sudut bagi memudahkan perjalanan jenazah itu, katanya. - BERNAMA

3 Sep 2011


Perbelanjaan anak Noramfaizul akan diurus kerajaan: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menguruskan perbelanjaan anak jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ia akan dibuat menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu meringankan beban keluarga Noramfaizul.

"Saya difahamkan Allahyarham adalah anak lelaki tunggal serta soleh dan seorang petugas yang begitu baik sekali di BERNAMA, bagi pihak kerajaan saya nak maklumkan bahawa kami akan menghulurkan bantuan.

"Buat masa ini kami akan membantu persekolahan anaknya iaitu akan mengambil alih perbelanjaan mereka nanti dan pihak YKN juga akan memberi sumbangan sebanyak RM5,000 untuk persekolahan anaknya," katanya kepada pemberita ketika melawat rumah keluarga Noramfaizul di sini, hari ini.

Noramfaizul meninggalkan isteri, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3. - BERNAMA

3 Sep 2011


Saya reda atas pemergiannya: Isteri

JOHOR BAHARU: Norazrina Jaafar, isteri kepada jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh di Somalia reda dengan pemergian Allahyarham.

"Saya reda terhadap kehilangan Allahyarham, Ia adalah qada dan qadar Allah SWT. Saya menerimanya," katanya di sini.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia pada 11 malam (waktu Malaysia) hari Jumaat selepas terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu.

Norazrina, 37, berkata suaminya pernah mengikuti beberapa tugasan yang berisiko tinggi sebelum ini dengan Allahyarham menganggap ia adalah sebahagian daripada tugasnya sebagai jurukamera berita.

"Sebelum ini, Allahyarham turut mengikuti penghantaran misi bantuan kemanusiaan di kawasan gempa bumi di New Zealand. Tugasan dianggapnya sebagai arahan yang perlu dipatuhi," katanya.

Rakan karib Allahyarham, Ahmad Azmai Awang yang juga Ketua Jurukamera BERNAMA TV berkata, sejurus selepas menerima maklumat mengenai tragedi itu, beliau terus menghubungi isteri Allahyarham semalam.

Beliau berkata Noramfaizul adalah jurukamera yang berdedikasi serta berpengalaman luas membuat liputan di beberapa kawasan konflik dan bencana dunia seperti di Gaza, Pakistan dan New Zealand.

"Tahun ini kali kedua Allahyarham tidak dapat berhari raya bersama keluarganya kerana tahun lalu beliau turut membuat liputan misi kemanusiaan di Pakistan," katanya.

Ahmad Azmai yang mula mengenali Allahyarham sejak awal 90an menyifatkan beliau sebagai seorang yang amat ceria dan memiliki komitmen yang tinggi terhadap tugas yang amat diminatinya sebagai jurukamera.

"Beliau adalah seorang yang amat ceria, walaupun ketika menghadapi masalah tetapi beliau akan tetap ceria seolah-olah tiada masalah. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh rakan setugasnya," katanya. - BERNAMA

3 Sep 2011


Jurukamera Noramfaizul memang minat sertai misi kemanusiaan: Ayah

KUALA LUMPUR: Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, pernah mengikuti misi seumpama itu di negara lain sebelum ini.

Bapa Allayarham Mohd Nor Mat Yassin, 66, berkata anaknya itu pernah ke luar negara untuk membuat liputan misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin dan Pakistan.

Katanya, sebelum anaknya berlepas ke Somalia pada 28 Ogos lepas, beliau kelihatan seronok dan memberitahunya mengenai tujuannya ke Somalia bersama Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia.

"Beliau juga seorang yang memang meminati kamera dan kerja sukarelawan.

Sudah minat dia begitu. Cuma bila terjadi perkara begini, saya tak sangka tapi
kami redha dan menerimanya," katanya kepada Bernama di kediamannya di Taman Serdang Raya, di sini, malam ini.

Sementara itu, ayah saudaranya, Tajuddin Abdul Majid, 60, berkata Allahyarham adalah seorang yang periang dan aktif.

Noramfaizul yang dilahirkan pada 14 Nov 1971 merupakan anak sulung daripada enam adik beradik.

Ahli keluarga Allahyarham malam tadi telah ramai berkumpul di rumah bapanya sebaik menerima berita kematian Noramfaizul.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Synergy Sdn Bhd, Engku Emran Engku Zainal Abidin turut menziarah keluarga Noramfaizul. -- BERNAMA

3 Sep 2011


Rakan Setugas Sifatkan Pemergian Noramfaizul Satu Kehilangan Besar

KUALA LUMPUR: Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BernamaTV yang maut akibat terkena tembakan curi ketika menjalankan tugas di Mogadishu, Somalia semalam, merupakan seorang insan yang disenangi kenalan kerana sikap peramah, tidak lokek dengan senyuman dan dedikasi terhadap kerja.

Rakan setugasnya menyifatkan pemergian Noramfaizul, sebagai satu kehilangan besar kepada bidang kewartawanan negara.

Ketua Jurukamera BernamaTV Ahmad Azmai Awang berkata Allahyarham yang dikenalinya sejak 1995 adalah seorang yang mudah didekati, tidak suka menyombong diri dan tegas dengan pendirian kerjanya.

"Sebelum ini sudah banyak misi kemanusiaan yang disertainya iaitu di Gaza, Palestin, Pakistan dan New Zealand. Saya tidak sangka misi kali ini beliau pergi buat selama-lamanya," katanya yang berkhidmat di BernamaTV selama 11 tahun.

Dilahirkan pada 14 November, 1971 di Gombak, Selangor, Noramfaizul, 39 ialah anak sulung daripada enam beradik, dan merupakan anak lelaki tunggal.

Allahyarham menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia dan Sekolah Menengah Agama Rawang sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Agama Klang, dan meneruskan pengajian di Guan Institute, Pudu.

Azmai berkata beliau teringat kata-kata arwah yang beriya-iya mahu membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran Somalia.

"Allahyarham kata, 'Aku bukan pergi untuk main-main, tetapi aku mahu pergi berjuang untuk negara.' Sebagai kawan, Allahyarham tidak lokek untuk menegur jika ada yang tidak betul pada pandangannya.

"Allahyarham memang seorang yang periang dan tidak pernah muram," kata Azmai yang tinggal serumah dengan arwah selama empat tahun mulai 1998.

Noramfaizul, meninggalkan isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki -- Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Rakan setugas yang juga jurukamera, Zulkarnain Kamaruddin, berkata beliau dan arwah sama-sama mengharungi "jatuh bangun" dalam kerjaya sebagai jurukamera, bermula di televisyen swasta MetroVision pada 1997.

"Kami sama-sama pergi temuduga di MetroVision. Selepas syarikat itu ditutup, kami menjadi jurukamera bebas untuk mencari rezeki.

"Yang paling menarik, kami diterima sebagai Artis Berjadual B5 di RTM selama tiga bulan sebelum ditawarkan jawatan tetap di BernamaTV pada tarikh yang tidak akan dilupakan, iaitu 3 Mac 2003," katanya kepada Bernama.

Allahyarham pernah berkhidmat di Filem Negara pada 1998 dan syarikat produksi Air Times Services dari 2000 hingga 2002.

Jurukamera BernamaTV Fazly Mostafa, yang membuat liputan penghantaran sukarelawan misi bantuan itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, 28 Ogos lepas, berkata beliau sempat bergurau dengan Allahyarham.

Menurut Fazly, arwah banyak berdiam diri sejak dari pejabat hingga ke saat menaiki pesawat, yang mengundangnya untuk memberitahu Allahyarham bahawa petugas lain boleh dihantar ke Somalia jika arwah keberatan untuk ke sana.

"Allahyarham menjawab,'Aku okay je, cuma jangan aku tak balik sudah'," kata Fazly dengan linangan air mata.

Beliau mengakui tidak berasa pelik dengan ungkapan arwah itu, tetapi tidak menyangka ia bertukar menjadi kenyataan.

Seorang lagi jurukamera BernamaTV, Suhaimi Mahadi, berkata arwah seorang yang meminati bidang sukan dan sering membuat liputan acara dan majlis melibatkan sukan.

"Saya masih ingat ketika bersama arwah tiga hari sebelum raya (27 Ogos), kami meninjau sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk melihat barangan serta pakaian yang dijual. Saya ikut kemahuan arwah kerana mengenali memang seorang yang suka berjalan," katanya.

Sementara itu, wartawan BernamaTV Mazizul Dani menyifatkan Allahyarham antara jurukamera paling bagus dalam merakamkan visual yang menarik.

Beliau tidak menduga laporan khas mengenai Pasar Chow Kit yang disiarkan hari ini adalah yang terakhir bersama arwah, yang membuat permintaan supaya namanya disebut ketika membuat 'stand upper', padahal perkara itu biasanya dibuat hanya untuk liputan di luar negara.

Dalam pada itu, wartawan BernamaTV yang pada asalnya ditugaskan untuk membuat liputan di Somalia, Siti Zanariah Nor Zin, berkata: "Allahyarham seorang jurukamera yang baik hati, kami sempat bermaaf-maafan.

"Saya memang puji sikap beliau yang berani dan berdedikasi dalam menjalankan tugas serta hubungan baik arwah dengan semua rakan sekerja."

Kejadian 5.40 petang waktu tempatan (pukul 10.40 waktu Malaysia), menyaksikan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Noramfaizul dan petugas media Malaysia lain, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia. - BERNAMA

3 Sep 2011


Kerajaan Somalia Janji Siasat Kejadian Tembak Misi Malaysia

MOGADISHU: Punca kejadian tembakan peluru sesat yang menyebabkan kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor di sini pada Jumaat, akan disiasat Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Somalia.

Menteri berkenaan Abdisamad Maallin Mohamud berjanji dalang di sebalik kejadian itu dicari dan dihadapkan ke mahkamah.

Beliau meminta maaf terhadap tragedi itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh warga Malaysia berikutan kematian Noramfaizul.

"Ini (tembakan) bukannya daripada kerajaan...bukan daripada Al-Shabaab (pihak berkuasa). Ia dari tembakan pasukan lain dan kita akan menyiasat kenapa ini berlaku dan kenapa (rakyat Malaysia) diserang," kata Abdisamad.

Noramfaizul, 39, yang telah bertugas dengan BernamaTV kira-kira sembilan tahun, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Kejadian berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki anggota misi seramai enam orang dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

Sementara itu, ketua misi bantuan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kemalangan yang meragut nyawa Noramfaizul itu sukar diterima rakyat Malaysia.

Abdul Azeez berkata beliau menuntut siasatan menyeluruh serta penjelasan daripada kerajaan Somalia berhubung kejadian itu.

"Kenapa pasukan tentera melakukan ini kepada kita. Ini kita tidak boleh terima. Mesti ada siasatan menyeluruh. Rakyat Somalia mesti mohon maaf kepada rakyat Malaysia," Abdul Azeez berkata kepada Abdisamad.

Abdul Azeez juga berkata jenazah Noramfaizul telah diuruskan serta persiapan dibuat untuk membawa balik jenazahnya ke Malaysia dengan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Suasana pilu di sini. Semua yang lain selamat. Semalam merupakan perjalanan terakhir tetapi terkena peluru sesat...tak tahu dari mana," kata Abdul Azeez.

Menurutnya, anggota perubatan kelab itu cuba sedaya menyelamatkan Noramfaizul tetapi gagal.

Misi tersebut yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur bertujuan membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia, dijadual pulang esok yang sepatutnya pada Isnin ini. - BERNAMA

3 Sep 2011


Keluarga Aji Saregar Bersyukur Beliau Selamat

Aji Siregar Mazlan, 26, cedera di lengan kanan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki ditembak. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHARU: Keluarga kepada Aji Saregar Mazlan, jurukamera TV3 yang cedera terkena tembakan peluru sesat di Somalia, Jumaat, bersyukur beliau selamat.

"Jantung saya bagai terhenti dan air mata mula mengalir apabila mendapat berita mengatakan Aji kena tembak," kata ibunya Rohana Jamil, 50.

Beliau berkata mereka sekeluarga mulai risau apabila Aji Saregar, 27, tidak menelefon mereka.

Kerisauan itu menjadi kenyataan, katanya apabila beliau menerima panggilan telefon kira-kira jam 11.20 malam tadi daripada seorang kakitangan TV3 yang memaklumkan anaknya cedera terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh kumpulan pemberontak.

Rohana berkata sejak berangkat ke Somalia pada 28 Ogos lalu, anaknya akan menghubungi ayahnya, Mazlan Mohd Sam, 52, setiap hari pada 5 petang bagi memaklumkan keadaannya di sana.

"Setiap kali Aji telefon, dia beritahu negara bergolak itu lebih dahsyat daripada konflik di Gaza dan meminta kami sekeluarga mendoakan keselamatannya, menyebabkan saya bertambah bimbang.

"Namun semalam Aji langsung tidak menghubungi ayahnya menyebabkan saya semakin risau jika perkara buruk menimpanya," katanya di rumahnya di Jalan Bukit Kempas di sini.

Dengan linangan air mata beliau berkata beliau pada mulanya merasa amat berat untuk melepaskan anaknya mengikuti misi kemanusiaan ke negara tersebut namun anaknya banyak kali meminta kebenarannya untuk pergi ke sana.

Aji Saregar sebelum ini pernah mengikuti beberapa misi seperti di Gaza dan Kaherah.

Beliau dilaporkan cedera di tangan terkena tembakan curi yang dipercayai dilepaskan oleh kumpulan pemberotak di Mogadishu pada Jumaat malam, ketika membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Isteri (Bakti).

Namun serangan itu mengorbankan jurukamera BernamaTV, Noramfauzl Mohd Nor, 39.

Sementara itu, Mazlan bersyukur kerana anaknya kini dilaporkan stabil.

Bagaimanapun beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa Noramfaizul.

"Esok jam 5 pagi, kami sekeluarga akan berangkat ke Kuala Lumpur kerana kesemua anggota misi kemanusiaan itu termasuk Aji dan jenazah Noramfaizul dijangka tiba jam 10 pagi," katanya. - BERNAMA

3 Sep 2011


‘Arwah terkulai di bahu saya’

ATAS: Noramfaizul Mohd. Nor yang cedera parah akibat terkena tembakan curi ketika detik cemas dibawa ke hospital di Mogadishu, Somalia, kelmarin.

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Malang tidak berbau. Walaupun jarak perjalanan yang perlu ditempuhi oleh sebahagian petugas media dalam misi bantuan di Somalia sebelum diserang hendap semalam hanya tiga minit, namun tempoh itu tetap merupakan antara yang paling panjang yang pernah dilalui oleh jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan.

Ini kerana dalam perjalanan tiga minit itulah mereka ditembak sekurang-kurangnya dua kali dan salah satu daripadanya mengorbankan rakannya, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.

Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan yang terkena tembakan curi ditenteramkan oleh wartawan ntv7, Melissa Ong dan Muhamad Solleh Ahmad Kamal di Mogadishu, Somalia, kelmarin. – BERNAMA

Menurut Aji Saregar, ketika kejadian, beliau dan Noramfaizul berada dalam kenderaan terakhir daripada tiga kenderaan yang bergerak dari hotel penginapan petugas media elektronik menuju ke hotel yang menempatkan petugas media cetak dan penulis blog.

“Sebelum memasuki pekarangan hotel itu dari hotel kami, saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan.

“Dalam kesakitan, saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu kanan arwah berlubang dan dia berada dalam kesakitan yang amat sangat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Aji Saregar menceritakan detik-detik cemas itu sebelum menaiki pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Mogadishu untuk pulang ke tanah air bersama jenazah Allahyarham Noramfaizul serta kesemua petugas media dan sukarelawan misi berkenaan.

Beginilah keadaan kenderaan pacuan empat roda yang terkena tembakan curi sehingga mengakibatkan Noramfaizul Mohd. Nor maut manakala Aji Saregar Mazlan cedera. – BERNAMA

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu (10.30 malam tadi waktu Malaysia), konvoi tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan tentera kerajaan Somalia ditembak oleh penyerang tidak dikenali kira-kira 200 meter sebelum memasuki hotel berkenaan.

Tembakan yang terkena bahu kanan Noramfaizul itu dilaporkan menembusi paru-parunya dan menyebabkan Allahyarham meninggal dunia ketika dirawat di hospital berdekatan kira-kira pukul 6.07 petang waktu tempatan sementara Aji Saregar hanya cedera di lengan.

Utusan
4 sep 2011


‘Saya terdengar dua das tembakan’

KESAN tembakan pada cermin tepi tempat duduk belakang kenderaan pacuan tempat roda yang dinaiki Noramfaizul.

MOGADISHU – “Saya masih tidak percaya kejadian yang menimpa kami. Hakikat jurukamera saya, Noramfaizul Mohd. Nor, maut akibat terkena tembakan peluru sesat pada petang Jumaat, masih belum dapat saya terima,” demikian kata wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya.

Beliau dan Noramfaizul, 39, adalah antara 54 anggota Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia yang berlepas pada 28 Ogos lalu dan dijadual tiba di tanah air hari ini.

Kejadian tembakan itu berlaku ketika krew BernamaTV, TV3, Astro Awani dan RTM bergerak dari pusat operasi ke asrama tempat mereka tinggal sejauh kira-kira satu kilometer, selepas membuat liputan pemberian bantuan kepada mangsa kebuluran.

“Saya duduk di bahagian paling hadapan di sebelah pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, manakala Noramfaizul duduk di bahagian paling belakang di sebelah kanan bersebelahan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan yang turut cedera.

Kosmo
4 Sep 2011


Isteri, keluarga reda

NORAZRINA bersama dua anaknya di Taman Serdang Raya, Kuala Lumpur, semalam.


Allahyarham sempat sedia kelengkapan raya anak

KUALA LUMPUR: “Ini yang Allah tetapkan.. Dia yang beri, Dia yang ambil dan Dia juga yang akan memelihara saya dan anak untuk teruskan kehidupan,” kata Norazrina Jaafar, 37, yang reda dengan pemergian suaminya yang juga jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, yang meninggal dunia di Somalia, kelmarin.

Ibu kepada dua anak itu mulanya kelihatan tabah dan cuba menyembunyikan kesedihannya, namun gagal berbuat demikian apabila air matanya bercucuran ketika ditanya mengenai sifat Allahyarham Faizul sebagai seorang suami dan seorang bapa ketika hayatnya.

“Sebagai orang media Allahyarham memang sibuk dan dalam kesuntukan masa itu, dia cuba meluangkan masa bersama keluarga, terutama anak,” katanya ketika ditemubual di rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya yang dibanjiri sanak saudara, kenalan dan wakil media sejak awal pagi, semalam.

Katanya, arwah seorang bapa yang penyayang dan amat menghormati ibu bapanya, Naemah Abdul Majid, 63 dan Mohd Nor Mat Yasin, 66, selain keluarga mentua.

Allahyarham juga sempat memberikan kelengkapan raya berupa sepasang kasut untuk kedua-dua anak lelakinya sebelum berlepas ke Mogadishu pada 28 Ogos lalu.

Hasil perkongsian hidup dengan Norazrina yang juga pegawai perhubungan awam di sebuah agensi kerajaan, mereka dikurniakan dua anak, iaitu Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.
Kedua-dua anaknya juga nampak tabah, terutama Irfan yang kelihatan mendiamkan diri dengan mata kemerah-merahan di sebelah Norazrina yang ditemubual lebih 10 wakil media.

Norazrina berkata, suaminya tidak menunjukkan tanda pelik sebelum berlepas ke Somalia, malah beliau berkelakuan seperti biasa selain sempat berpesan kepadanya melalui telefon supaya menjaga diri dan anak dengan baik.

Sementara itu, ibu arwah, Naemah ketika ditemui berkata, sambal ikan bilis dan kemeja-T berwarna kelabu yang dipakai anak sulungnya ketika menziarahi keluarganya sebelum berlepas ke Somalia beberapa hari sebelum Syawal menjadi kenangan terakhir buat mereka.

“Meskipun sedih dan terkilan dengan pemergiannya, kami sekeluarga reda dengan ketentuan takdir, walaupun jarang berjumpa kerana kesibukan kerjanya.

“Walaupun kesuntukan masa, Ijoy (panggilan manja arwah) sempat mengirimkan sejumlah duit raya buat ibu bapanya dan ahli keluarga serta membeli kasut raya di pusat beli-belah, The Mines untuk kedua-dua anaknya,” katanya sebak.

Berita Harian
4 sep 2011


Hajat ibu tak kesampaian

KUALA LUMPUR – Hajat ibu kepada jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang mahu melihat arwah membaca surah al-Ghafir ketika menyambut ulang tahun kelahirannya pada 14 November depan tidak kesampaian selepas arwah maut terkena peluru sesat ketika Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia, kelmarin.

Naemah Abdul Majid, 63, berkata, beliau reda de-ngan ketentuan pemergian anak sulungnya itu.

“Makcik tidak sempat dengar dia baca surah berkenaan supaya mereka sekeluarga dilimpahkan rezeki,” katanya yang ditemui di rumahnya di Serdang Raya, semalam.

Katanya, beliau berhasrat mendengar bacaan suci itu pada hari berkenaan yang kebetulan sama dengan tarikh lahir salah seorang adiknya.

Naemah berkata, Noramfaizul adalah seorang anak yang mudah mesra dan menghormati orang tua.

“Dia tidak pernah lupa membahagikan kek hari lahir untuk diberikan kepada adik-nya setiap kali menyambutnya, kerana tarikh lahir mereka sama,” katanya.

Mengimbas kejadian, Naemah berkata, arwah kerap menghubungi keluarga untuk menyatakan keadaan beliau sepanjang berada di negara bergolak itu.

Bagaimanapun, agak berbeza kerana sebelum ini Noramfaizul hanya menghubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) apabila menyertai misi ke luar negara.

“Semasa berada di sana, arwah ada menghubungi saya untuk bertanya khabar. Arwah turut menghantarkan SMS kepada adik-beradik serta ibu saudaranya bagi memaklumkan keadaan semasa.

“Dua tahun lepas, semasa arwah menyertai misi kemanusiaan di Gaza, arwah hanya menghubungi kami melalui SMS sahaja, tetapi dalam misi kali ini, arwah sedikit berbeza,” katanya.

Katanya, sebelum pemergian arwah, beliau telah menyiapkan segala persiapan untuk dua anaknya.

“Makcik juga ada masak bihun goreng untuk dia dua hari sebelum dia ke Somalia dan mengadakan majlis ringkas bagi mengumpul adik beradik.

“Dia juga ada memberikan wang untuk membayar sewa rumah dan untuk kegunaan makcik dan pakcik,” katanya.

Tambah memilukan, menurut Naemah, semasa menghantar Noramfaizul di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang beliau tidak membenarkan ibunya turun dari kereta.

“Makcik diminta tidak keluar dari kereta, tetapi makcik nak juga keluar untuk melihat beliau berlepas ke Somalia,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Mohd Nor Md Yassin, 66, berkata, anaknya itu pernah beberapa kali bertugas di luar negara untuk membuat liputan misi kemanusiaan ke Palestin dan Pakistan.

“Dia sangat gembira menjalani tugasan sebagai seorang jurukamera,” katanya.

Sinar Harian
4 Sep 2011


Minat ‘Black Hawk Down’

MOGADISHU: “Sebelum membuat liputan di kem penempatan berkenaan, kami berdua sempat bergambar di lokasi ‘Black Hawk (helikopter) down’ ditembak jatuh, selepas arwah beriya-iya mengajak bergambar di situ kerana katanya, entah bila kami akan dapat datang ke Somalia lagi,” kata Aji Siregar Mazlan, 26, jurukamera TV3 yang cedera dalam insiden yang turut meragut nyawa jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, di sini, jam 10.30 malam, kelmarin.

Beliau dan arwah terkena tembakan dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan selepas selesai membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di sebuah kem penempatan rakyat Somalia, jam 5.30 petang (waktu Somalia).

Menurutnya, ketika kejadian, dia dan arwah serta lapan lagi rakan media yang tinggal di hotel berasingan dengan 47 lagi anggota misi menaiki dua kenderaan untuk pulang ke tempat penginapan dan bersiap sebelum dijadualkan bertemu Presiden Somalia (Sharif Ahmed) pada jam 9 malam.

Menceritakan tragedi itu, Aji berkata dia dan arwah duduk di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama empat lagi rakan media daripada TV3, Bernama TV dan ntv7, manakala empat kakitangan RTM menaiki kenderaan lain di depan, bersama kumpulan keselamatan.

Katanya, tembakan berlaku sebaik kenderaan membelok ke laluan masuk hotel dan mereka semua panik serta pemandu cuba memecut masuk tetapi ada halangan berikutan hotel itu mempunyai dua pagar kawalan keselamatan.

“Selepas berjaya masuk, beberapa orang di situ cuba memberi rawatan, namun gagal menyelamatkan nyawa Abang Faizul. Syukur saya hanya terkena serpihan tembakan yang mengorbankan arwah, jika tidak Tuhan saja yang tahu nasib saya.

“Arwah masih bernyawa selepas terkena tembakan, dia hanya mengerang kesakitan dan tidak mampu berkata apa-apa walaupun berkali-kali saya memanggil namanya,” katanya.

Aji berkata, ketika kejadian, dia mendengar satu tembakan sebelum berasa panas di lengan kanannya dan sebaik memeriksa mendapati lengannya luka seperti kesan terbakar.

“Saya kemudian menepuk paha arwah yang duduk di kanan saya untuk memberitahu perkara itu, namun arwah hanya diam dan sejurus itu juga kepalanya terlentok ke bahu saya.

“Ketika itu saya baru sedar arwah turut terkena tembakan dan saya nampak bahunya berlubang serta darah mula keluar dengan banyak,” katanya yang masih terkejut dengan tragedi itu.

Jenazah arwah bersama 54 lagi anggota misi bantuan, termasuk tiga wakil media daripada The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), dibawa pulang ke tanah air menaiki pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dijadualkan tiba di Subang, hari ini.

Seramai 55 rakyat Malaysia, termasuk wakil media, berada di Mogadishu bagi menghulurkan bantuan makanan dan perubatan bagi rakyat Somalia yang menderita kebuluran.

Arwah antara 17 wakil media yang turut serta dalam misi berkenaan.

myMetro
4 Sep 2011


Rakan tidak sangka gurauan Allahyarham Noramfaizul jadi kenyataan

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Seorang rakan tidak menyangka gurauan rakan baiknya, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, 39, jurukamera BernamaTV bahawa dia mungkin mati ditembak ketika menyertai Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, menjadi kenyataan.

Allahyarham berkata demikian ketika meminta rakan baiknya yang juga jurukamera BernamaTV, Farhan Omar menerima wang pemberiannya bagi membeli sepasang kasut yang bernilai RM175.

Menurut Farhan, Allahyarham sebelum ini berhasrat untuk membeli kasut sama dengannya untuk dipakai mereka berdua selepas menerima elaun tugasan.

"Malah jenis kasut itu pun telah ditunjukkan oleh Noramfaizul. Disebabkan tidak sempat beli kasut itu, Noramfaizul memberi kepada saya RM200 untuk tujuan itu.

"Pada mulanya saya menolak, tetapi Allahyarham minta saya terima kerana katanya dia bimbang mana tahu akan mati ditembak ketika berada di Somalia," katanya yang mengenali Noramfaizul hampir 10 tahun.

Tambahnya, sebelum Allahyarham bertolak dia sempat membawa bihun dan sambal ayam yang dimasak ibunya untuk dijamah ketika berbuka puasa.

"Kami makan bihun itu semasa melakukan tugasan di belakang Istana Budaya, masa itu juga dia beritahu ingin membeli kasut sama untuk kami pakai, biar orang cakap kami boria kerana sama kasut," ujarnya.

Farhan berkata, Allahyarham juga telah menunjukkan kasut yang ingin dibeli ketika mereka melakukan liputan tersebut.

Katanya, kasut tersebut bernilai RM175 dan dia tetap akan membeli kasut berkenaan menggunakan wang yang diberikan.

"Saya tidak sangka lawak dia (Noramfaizul) menjadi kenyataan, tetapi inilah ketentuan Allah, saya reda walaupun kehilangan rakan karib," katanya.

Utusan
4 Sep 2011


Ibu puas anak sempat jamah masakan

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Walaupun sedih dengan kehilangan anak lelaki tunggal, jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, namun Naemah Abd. Majid tetap berpuas hati kerana sambal ayam dan bihun goreng yang dimasak sempat dijamah Allahyarham sehari sebelum berlepas ke Somalia.

Naemah, 63, berkata, dia sempat memasak untuk anaknya itu, walaupun mengetahui Noramfaizul kesuntukan masa kerana mempunyai pelbagai urusan termasuk pemeriksaan kesihatan.

"Makcik tak rasa ralat sangat dengan pemergian dia kerana dia sempat patah balik untuk menjamah makanan yang makcik masak walaupun ketika itu dia sangat sibuk dengan persiapan untuk ke Somalia.

"Walaupun kesuntukan masa, dia juga sempat membelikan kasut raya untuk anak-anaknya dan hadir pada kenduri doa selamat dan tahlil yang diadakan di sini yang dibuat untuk dia dan adik perempuan bongsu yang akan bersalin tidak lama lagi," katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Serdang Raya di sini, hari ini.

Utusan
4 sep 2011


Noramfaizul, seorang profesional tulen: Pengerusi BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang terbunuh dalam insiden tembakan di Mogadishu, ibu negara Somalia, disifatkan sebagai seorang profesional tulen yang tidak mementingkan diri dan sanggup melakukan pengorbanan berani dalam melaksanakan tugas.

Pengerusi BERNAMA, Datuk Abdul Rahman Sulaiman berkata: "Pemergiannya akan dicatat dalam sejarah BERNAMA sebagai seorang profesional yang tulen dalam memenuhi tugas dan memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan tulen.

Sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, katanya, BERNAMA akan menghulurkan segala bantuan yang mungkin untuk meringankan kesedihan yang dialami oleh keluarganya.

Allahyarham meninggalkan isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Allahyarham adalah sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dalam membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Sementara itu, Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Yong Soo Heong berkata BERNAMA kehilangan rakan sekerja yang rajin dan tidak pernah mengabaikan tugasnya.

"Ini adalah satu kehilangan besar kepada BERNAMA kerana Faizul (Noramfaizul) adalah seorang yang komited dan tidak pernah mengabaikan tugasnya, beliau juga menunjukkan sikap profesional ketika bertugas.

"Saya selalu kerap bertemu dengan Allahyarham di lobi pejabat, dan sering bertegur sapa dan beliau saya lihat ada seorang yang peramah," katanya semasa ditemui ketika menziarah keluarga Allahyarham di Taman Serdang Raya, dekat sini, malam tadi.

Yong berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan Jabatan Perdana Menteri dan Wisma Putra mengenai prosedur membawa balik jenazah Allahyarham.

"BERNAMA juga akan memberikan semua bantuan yang diperlukan oleh keluarga Allahyarham selepas ini," katanya. - BERNAMA

3 Sep 2011


Jenazah Noramfaizul selamat disemadikan


KUALA LUMPUR: Jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban akibat terkena tembakan curi di Somalia, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, dekat sini hari ini.

Pengebumian berlangsung dalam suasana pilu dengan kehadiran bukan saja ahli keluarga bahkan sahabat handai serta rakan media, termasuk kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan BernamaTV.

Selepas bacaan talkin disempurnakan, ahli keluarga Noramfaizul menyiram air mawar dan menabur kelopak bunga di pusara Allahyarham yang terkorban selepas terkena tembakan di Mogadishu ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama petugas media Malaysia lain untuk pulang ke tempat penginapan pada Jumaat.

Mereka berada di Mogadishu untuk membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia.

Turut berada di tanah perkuburan ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Antara warga BERNAMA yang hadir ialah Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Sulaiman; Pengurus Besar, Datuk Hasnul Hassan dan Ketua Pengarang, Datuk Yong Soo Heong.

JENAZAH Jurukamera BERNAMA tv, Noramfaizul Mohd Nor diiringi anggota Polis selamat sampai dirumahnya di Sri Serdang. Foto: Yazit Razali (04/09/2011) / myMetro

Terdahulu, pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah Noramfaizul serta 54 anggota misi tersebut, tiba di Pangkalan TUDM Subang pada 10 pagi dengan disambut ibu bapa arwah, Mohd Nor Mat Yassin, 66, dan Naemah Abd Majid, 63 serta kaum keluarga yang lain.

Turut menyambut ketibaan jenazah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet.

Keranda dibaluti bendera "Jalur Gemilang" kemudiannya dibawa ke Masjid TUDM untuk solat jenazah sebelum dibuka bagi membolehkan ahli keluarga dan hadirin lain menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Naemah dilihat menitiskan air mata sewaktu menatap wajah anak sulung kesayangannya yang juga anak lelaki tunggal daripada enam beradik.

Balu Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki arwah, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3, turut berada di masjid berkenaan dan tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

Najib dan Muhyiddin ialah antara kenamaan yang turut menunaikan solat jenazah buat Allahyarham, yang disifatkan sebagai wira negara oleh Perdana Menteri.

Jenazah Noramfaizul kemudiannya dibawa ke rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya, seterusnya ke Masjid Al-Islah berdekatan untuk sembahyang jenazah untuk kali kedua sebelum disemadikan. - BERNAMA

4 Sep 2011


NPC sampai ucapan takziah kepada keluarga Noramfaizul

KUALA LUMPUR: Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, Jumaat lalu, dan menggesa supaya satu prosedur operasi standard ditampilkan untuk diguna pakai oleh anggota media yang ditugaskan membuat liputan di zon perang.

Presidennya, Mokhtar Hussain dalam satu kenyataan, berkata satu prosedur operasi standard perlu ditampilkan segera bagi memelihara keselamatan para wartawan yang membuat liputan di zon perang atau di kawasan tidak selamat.

Beliau berkata, contohnya mereka perlu dibekalkan dengan pelbagai alat perlindungan dan diberi taklimat mengenai apa yang perlu dilakukan dalam keadaan kecemasan.

Mokhtar yang pernah menerajui operasi editorial di BERNAMATV berkata, beliau mengenali Noramfaizul secara peribadi dan Allahyarham adalah seorang yang amat bersemangat tinggi dan komited dalam melaksanakan setiap tugasan.

"Allahyarham adalah seorang yang periang yang mudah didekati, seorang pekerja yang rajin dan tidak pernah cuba mengelak daripada melaksanakan apa jua tugas dan tanggungjawab yang diserahkan kepadanya," katanya.

Noramfaizul, 39, terkorban akibat terkena tembakan curi semasa kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bersama petugas media Malaysia yang diiringi tentera kerajaan Somalia ditembak semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan di Mogadishu selepas membuat liputan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia itu.

Mokhtar berkata, kematian Noramfaizul adalah satu kehilangan besar kepada BERNAMATV secara khususnya, dan kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) secara amnya.

Katanya, diharapkan keluarga Allahyarham akan dapat menghadapi kehilangan itu dengan penuh tabah.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, yang berumur lapan tahun dan Mohd Naufal, tiga tahun. - BERNAMA

4 Sep 2011


Jiran pamer semangat 1Malaysia ketika bantu keluarga Allahyarham Noramfaizul

KUALA LUMPUR: Semangat kejiranan 1Malaysia jelas terserlah di Taman Serdang Jaya apabila jiran ibu bapa Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, yang terdiri daripada pelbagai bangsa, turut membantu meringankan beban keluarga itu.

M Rajeswaran, 33, berkata mereka bekerjasama menyediakan kerusi serta membekalkan air mineral untuk tetamu yang menziarah keluarga Noramfaizul sejak berita kematiannya dilaporkan.

Jurukamera BERNAMA TV Noramfaizul, 39, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Rajeswaran adalah jiran keluarga Allahyarham sejak 20 tahun lalu, berkata beliau turut membantu menjadi penunjuk jalan bagi tetamu yang sesat ketika mahu ke rumah keluarga Noramfaizul.

Beliau memberitahu BERNAMA ramai jiran yang bukan beragama Islam turut berjaga bersama keluarga Noramfaizul semalam bagi meringankan kedukaan mereka.

Rajeswaran berkata ketika keluarga Noramfaizul dimaklumkan mengenai kematian anak lelaki tunggal mereka, beliau baru pulang dari tempat kerja dan terus menghulurkan bantuan yang termampu bersama keluarganya.

Selain itu, pemerhatian pemberita mendapati semua penduduk di kawasan itu menunjukkan komitmen dan kerjasama yang tinggi ketika membantu keluarga Allahyarham. - BERNAMA

4 Sep 2011


Pengaman disyaki lepas tembakan

KUALA LUMPUR: Kematian Noramfaizul Mohd Nor di Somalia turut mendapat perhatian media antarabangsa yang memberi liputan meluas dengan mendakwa tembakan itu dilepaskan pasukan pengaman Afrika dari Misi Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM).

Reuters memetik kenyataan saksi dan pekerja bantuan tempatan yang bersama dengan Kelab Putera 1Malaysia, Muhideen Mohamed yang mendakwa tembakan dilepaskan anggota AMISOM yang ditugaskan meronda bandar Mogadishu.

“AMISOM membunuh wartawan (jurugambar) Malaysia dan mencederakan seorang lagi di antara simpang K4 dan lapangan terbang Mogadishu,” katanya memetik Muhideen.

“Kita sedang siasat siapa yang melepaskan tembakan itu. Adakah ia (dari) AMISOM atau kumpulan satu lagi?” kata jurucakap AMISOM, Prosper Hakizimana kepada Reuters.

Portal berita, Somalia Report juga mendakwa AMISOM menembak konvoi kenderaan dinaiki rakyat Malaysia itu, walaupun diiringi tentera Kerajaan Persekutuan Peralihan Somalia (TFG).

Kejadian itu berlaku di jalan yang menghubungkan lapangan terbang dan istana presiden, iaitu satu-satunya jalan yang digunakan AMISOM ketika membuat rondaan di bandar itu.

Berita Harian
4 sep 2011


Najib sifatkan Noramfaizul wira Malaysia sebenar

Gambar Noramfaizul Mohd. Nor yang dirakamkan oleh rakan setugasnya beberapa jam sebelum jurukamera BernamaTV itu terbunuh setelah terkena tembakan curi ketika menyertai misi bantuan di Somalia, kelmarin. – BERNAMA

PERTH 3 Sept. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi di Somalia, semalam, sebagai seorang wira Malaysia sebenar “yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan”.

Sambil melahirkan rasa sedih berhubung apa yang berlaku, Najib berkata: “Kita telah kehilangan seorang rakyat Malaysia sangat mulia dan benar-benar berdedikasi.

“Beliau bersedia mengambil risiko untuk memberikan liputan meluas mengenai misi kita membantu orang lain di banyak tempat di dunia.”

Bercakap kepada Bernama hari ini, Najib berkata, lawatannya ke Perth disingkatkan dan akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang untuk ketibaan jenazah Noramfaizul dari Mogadishu, esok.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di di Somalia.

Noramfaizul telah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Malaysia di seberang laut yang bertujuan untuk menolong mereka yang amat memerlukan bantuan.

“Beliau seorang yang berdedikasi dan individu yang tidak mementingkan diri yang bersedia untuk bertugas di kawasan persekitaran yang mencabar dan ganas seperti di Gaza dan Pakistan,” kata Najib.

Beliau berkata, malahan jurukamera BernamaTV itu bersedia untuk pergi ke Somalia selepas beliau menyedari ia mungkin merupakan misi berbahaya.

“Sudah tentu beliau mahu berada di tempat itu bagi merekodkan satu misi kemanusiaan. Anda boleh kata bahawa kematiannya akibat kebinasaan lingkungan.

“Bagaimanapun, kita telah kehilangan seorang yang sangat baik, rakyat Malaysia yang sebenar, seorang wira yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan,” katanya. — BERNAMA

4 Sep 2011


Ketawa bertukar sepi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengiringi jenazah Noramfaizul ketika tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, semalam.

IBU Noramfaizul, Naemah Abdul Majid tidak dapat menahan kesedihan cuba ditenteramkan ketika melihat jenazah.

Sukarelawan, petugas media alami detik menakutkan

SUBANG: “Masa dalam perjalanan ke Mogadishu tempoh hari, suasananya penuh meriah dan riuh dengan gelak ketawa, tetapi perjalanan pulang semalam bersama jenazah Allahyarham keadaannya sungguh sepi dan suram dengan raut sedih jelas pada wajah setiap sukarelawan dan petugas media,” kata wartawan Berita Harian, Nor Azizah Mokhtar yang turut menyertai misi kemanusiaan di Somalia.

Menceritakan pengalaman 21 jam dalam pesawat Hercules C130 ketika dalam perjalanan ke tanah air, Nor Azizah berkata, ada antara mereka menitiskan air mata mengenangkan apa yang berlaku dan di mana salahnya sehingga terpaksa membawa pulang Noramfaizul dalam keranda.

“Apa yang berlaku memang di luar jangkaan, seminggu lalu kami ke Somalia dengan ceria. Malah, arwah antara yang paling bersemangat serta tidak putus-putus berjenaka hingga membuatkan perjalanan jauh itu tidak membosankan.

“Namun, suasana itu cuma tinggal kenangan apabila hari ini (semalam) hanya jasadnya dibawa pulang. Tiada lagi wajah ceria atau gelak tawa arwah sepanjang 21 jam perjalanan pulang ke tanah air,” katanya.

Nor Azizah berkata, semua peserta misi kemanusiaan itu menempuh detik paling menakutkan sepanjang 15 jam selepas serangan yang mengorbankan arwah dan hanya menghela nafas lega sebaik pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas dari Lapangan Terbang Mogadishu.

“Alhamdulillah kami semua selamat tiba... tiada yang lebih menggembirakan selain berjumpa ahli keluarga dan rakan yang menunggu kepulangan kami, namun masih bersedih mengenangkan kematian arwah,” katanya.

Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, yang cedera di lengan dalam serangan kira-kira jam 5.15 petang (waktu Somalia) Jumaat lalu, berkata arwah Noramfaizul duduk bersebelahannya sepanjang perjalanan ketika memulakan misi pada 28 Ogos lalu.

“Ketika penerbangan ke Mogadishu, arwah memberitahu walaupun sudah banyak mengikuti misi kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia, namun beliau memasang impian suatu hari nanti berpeluang membuat liputan di Baitulmaqdis. Namun, impian itu tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Berita Harian
5 Sep 2011


Peluru tembusi 2 organ utama

Grafik tragedi berdarah yang mengorbankan jurukamera BERNAMA tv, Noramfaizul Mohd Nor. - myMetro

SUBANG: Peluru yang mengenai Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, 40, dalam serangan di Mogadishu, Somalia, Jumaat lalu, menembusi jantung dan paru-paru mengakibatkan beliau cedera parah dan gagal diselamatkan.

Pakar Perubatan Kecemasan dan Pengurusan Bencana Hospital Selayang, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman yang juga ketua perubatan misi itu berkata, selepas terkena tembakan Allahyarham cuba diselamatkan beberapa doktor tempatan yang bertugas dengan dibantu pasukan perubatan Malaysia.

“Kami cuba sedaya upaya untuk menstabilkan keadaan Allahyarham, tetapi kecederaannya agak parah. Pasukan perubatan tempatan bersama pasukan perubatan dari Malaysia cuba membantu menyelamatkan beliau, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata, tembakan pada badan Allahyarham terkena pada tempat yang tidak dilindungi, iaitu dari bawah ketiak, menembusi bahu serta turut terkena jantung dan paru.

Berita Harian
5 Sep 2011


Keluarga Allahyarham Noramfaizul Dapat Pampasan RM200,000

KUALA LUMPUR: Keluarga jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang maut akibat terkena tembakan curi di Mogadishu, Somalia akan menerima pampasan sebanyak RM200,000 di bawah perlindungan insurans yang dibeli oleh Kelab Putera 1Malaysia.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pada Isnin bahawa badan bukan kerajaan (NGO) itu turut menamakan salah sebuah kem kemanusiaan kelab tersebut di Somalia sempena nama Noramfaizul.

Noramfaizul terkena tembakan curi ketika melakukan liputan misi kemanusiaan di negara itu.

"Saya sudah berhubung dengan ibu bapa Noramfaizul mengenai perkara ini sebaik saja kami bertemu pada Ahad," kata Abdul Azeez dalam temu bual pagi di RTM bersama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim di Angkasapuri, Isnin.

mStar
5 Sep 2011


Allahyarham disambut sebagai wira negara

Sebahagian daripada orang ramai membantu mengusung keranda jenazah Noramfaizul (gambar kecil) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang semalam.

SUBANG - Suasana pilu menyelubungi Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini apabila pesawat Charlie C-130 yang membawa jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan curi di Mogadishu, Somalia pada Jumaat lalu tiba kira-kira pukul 10.05 pagi semalam.

Pesawat yang sama turut membawa pulang seramai 16 pengamal media lain yang turut disertai 14 pasukan khas daripada sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, doktor (19) dan krew TUDM (26) yang diketuai oleh Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sejurus tiba, jenazah Allahyarham yang diiringi Abdul Azeez disambut anggota keluarga termasuk ayah Allahyarham, Mohd. Nor Mat Yassin, 66, dan ibunya, Naemah Abd. Majid, 63.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah.

Kosmo
5 Sep 2011


Peluru sesat lalu celah ketiak - Aji

SUBANG - Jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan menyifatkan dirinya bagaikan mati hidup semula apabila terselamat dalam tragedi tembakan curi yang mengorbankan jurugambar BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, 39, di Mogadishu, Somalia kelmarin.

Dia berkata, selepas mengorbankan rakannya, peluru sesat tersebut yang dipercayai dilepaskan oleh tentera Kesatuan Afrika (AU) telah melalui celah ketiak dan rusuknya di sebelah kanan.

"Saya sangat bernasib baik kerana peluru tersebut menembusi badan arwah terlebih dahulu sebelum lalu di celah ketiak dan rusuk saya di sebelah kanan, menyebabkan saya tercedera.

"Ada orang beritahu saya, telah terjumpa sebuah peluru yang dipercayai terkena arwah dalam pacuan empat roda dinaiki saya bersama rakan media lain," ceritanya lagi.

Kosmo
5 Sep 2011


Noramfaizul ingin ke Baitulmaqdis

SUBANG 4 Sept. – Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang meninggal dunia kerana terkena tembakan curi semasa menyertai Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia pernah menyatakan hasrat untuk menjejakkan kaki ke Baitulmaqdis dan menjalankan misi kemanusiaan di sana.

Menurut jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan (gambar), Allahyarham menyatakan hasrat tersebut ketika mereka berbual-bual sebelum kejadian tembakan itu berlaku.

Katanya, Allahyarham sangat teringin untuk berada di Baitulmaqdis kerana banyak tempat telah dijejakinya sepanjang menjadi jurukamera dan menyertai misi kemanusiaan tetapi masih belum berpeluang ke sana.

“Dia (Allahyarham Noramfaizul) ada bercerita kepada saya bahawa dia suka bekerja di luar (negara) dan sangat teringin ke Baitulmaqdis.

“Dia pernah sampai di Gaza ketika mengikuti misi kemanusiaan tetapi tidak berpeluang memasuki Baitulmaqdis ketika itu dan menyimpan impian menjejakkan kaki dan mengikuti misi kemanusiaan di sana,” katanya yang ditemui di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Dalam kejadian yang sama, Aji turut cedera apabila terkena tembakan di tangan kanannya.

Sebagai seorang jurukamera BernamaTV, Noramfaizul telah menyertai beberapa misi kemanusiaan Malaysia di luar negara yang bertujuan membantu golongan memerlukan.

Sementara itu, wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya pula berkata, Allahyarham sangat bersemangat dan bertenaga menjalankan tugas pada hari berkenaan, yang rupa-rupanya adalah tugas terakhirnya.

“Arwah sangat bersemangat pada hari itu. Pada mulanya saya pelik dengan kesungguhannya tetapi tidak pula menyangka sesuatu buruk akan berlaku kerana dia sememangnya komited sewaktu bertugas.

“Tetapi siapa yang sangka, mungkin arwah sudah dapat merasakan ia adalah tugas terakhirnya dan mahu melaksanakannya sebaik mungkin,” jelasnya.

Utusan
5 Sep 2011


Irfan, Naufal terima pelaburan Amanah Saham Didik

JOHOR BAHRU 4 Sept. - Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad hari ini berkata, pihaknya akan memberi sumbangan bagi membantu membela nasib anak arwah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor.

Beliau berkata, bantuan yang akan diberikan itu berupa pelaburan Amanah Saham Didik bagi menjamin masa depan yang baik kepada Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.

"Kita menyasarkan untuk mengumpul RM5,000 seorang bagi kedua-dua anak arwah dan memberi bantuan dalam bentuk Amanah Saham 2020, Amanah Saham Didik atau amanah saham yang sesuai di bawah Permodalan Nasional Berhad," katanya.

Shahril berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Bantuan Somalia peringkat Parlimen Johor Baharu pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Dewan Sri Tebrau di sini, hari ini.

Noramfaizul, 39, terkorban akibat terkena tembakan curi semasa kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bersama petugas media Malaysia yang diiringi tentera kerajaan Somalia ditembak semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan di Mogadishu selepas membuat liputan misi bantuan kemanusiaan oleh Kelab Putera 1Malaysia itu.

Shahrir berkata, kematian Noramfaizul merupakan satu pengorbanan yang begitu tinggi oleh petugas media Malaysia dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat di negara ini.

"Kalau kita tidak hantar orang kita sendiri, kita akan hanya mendapat maklumat daripada agensi media asing yang mana mempunyai perspektif yang berbeza," katanya.

Beliau berkata, pelancaran Tabung Bantuan Somalia di kawasan parlimennya adalah bagi meneruskan misi bantuan kemanusiaan di negara tersebut yang dilanda kemarau, kebuluran dan konflik bersenjata.

Shahrir turut menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia adalah semata-mata untuk meraih publisiti dan bahawa Malaysia tiada terikat dengan sebarang perjanjian untuk membantu pelarian.

Katanya, misi bantuan itu dibuat kerana rakyat di Somalia amat memerlukan bantuan akibat masalah kebuluran dan kemarau serta mereka bukannya pelarian. - BERNAMA

5 Sep 2011


Cadang wujud Tabung Amanah Noramfaizul

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Presiden Social Care Foundation, Tan Sri Robert Phang mencadangkan penubuhan satu tabung amanah bagi menyelenggarakan dana daripada sumbangan pelbagai pihak kepada keluarga jurukamera BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang terbunuh di Somalia pada Jumaat lepas.

Phang berkata, dengan adanya tabung itu, sumbangan orang ramai dapat diuruskan dengan lebih sistematik bagi kemudahan keluarga Allahyarham pada masa hadapan.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM50,000 kepada keluarga Noramfaizul.

"Sebagai rakyat Malaysia, bantuan hendaklah disampaikan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga Noramfaizul dekat sini, hari ini.

Beliau turut menyatakan rasa simpatinya terhadap keluarga Allahyarham yang kehilangan insan tersayang ketika sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, bapa Noramfaizul, Mohd. Nor Md. Yassin menyokong cadangan Phang kerana sebuah tabung amanah akan lebih memudahkan pengurusan wang yang disumbangkan oleh pelbagai pihak.

Hari ini, keluarga Allahyarham turut menerima sumbangan RM3,000 daripada Tabung Kebajikan Wartawan Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) yang disampaikan oleh penasihat kelab, Datuk Noraina Samad.

Presiden NPC, Mokhtar Hussein, yang turut menziarah keluarga Noramfaizul, berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan kepada kelab itu bagi membela nasib wartawan di negara ini.

"Dana yang kami ada hanyalah kecil-kecilan dan kami menyeru mana-mana pihak supaya tampil memberikan sumbangan bagi membolehkan kami mewujudkan insuran melindungi warga media jika mereka ditimpa kesusahan," katanya. - BERNAMA

6 Sep 2011


Mangsa kebuluran Somalia mohon maaf

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Wakil beberapa kem pelarian di Gorawe, Somalia hari ini meminta maaf kepada rakyat Malaysia di atas kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor pada Jumaat lepas akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu.

Permohonan maaf yang disampaikan melalui Pengarah Eksekutif Malaysian Relief Agency (MRA), Mohd. Shahrulazilan Said itu turut menyatakan kekesalan mereka terhadap insiden malang tersebut.

"Walaupun kedudukan Garowe terletak 500 kilometer dari Mogadishu, namun berita menyayat hati itu turut dirasai mangsa-mangsa kebuluran di sini.

"Kebanyakan mereka nyata kesal dengan kejadian yang berlaku memandangkan pengorbanan besar yang terpaksa dilakukan arwah terhadap mereka di sini," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohd. Shahrulazilan, insiden itu juga menyebabkan pihak kerajaan Somalia mula mempertingkatkan kawalan keselamatan kepada sukarelawan MRA secara drastik.

"Dengan pelbagai kemungkinan bahaya, kami semua kini berada di dalam keadaan berjaga-jaga, malah pergerakan saya juga turut dikawal ketat pihak tentera kerajaan Somalia di sini.

"Untuk mengurangkan risiko, tumpuan MRA kini hanya kepada mangsa yang berada di kem di bahagian utara negara itu sahaja memandangkan Mogadishu masih bergolak," katanya.

Sementara itu, menurut beliau, kebakaran khemah di kem-kem pelarian kini turut menjadi ancaman utama kepada mangsa kebuluran.

Tambah beliau, kejadian kebakaran yang kerap berlaku di beberapa kem pelarian di negara itu menyebabkan kira-kira 40 khemah musnah secara serentak.

"Kebanyakan khemah yang dibina mangsa diperbuat daripada bahan mudah terbakar seperti kertas dan kayu.

"Bagi mengurangkan masalah kebakaran di kem-kem ini, beberapa agensi kemanusiaan lain turut mengadakan beberapa kempen khas bagi memberi kesedaran mengenai langkah-langkah keselamatan yang harus diambil kira," katanya.

Utusan
6 sep 2011


Allahyarham Noramfaizul seorang peramah

HASSAN Abd. Rahman (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Mohamad Bakri Darus (empat dari kiri) untuk disampaikan kepada isteri Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor di Dewan Serbaguna Japerun Sungai Rambai di Melaka, semalam.

MELAKA 5 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman menyifatkan Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor, jurukamera BernamaTV yang terkorban di Somalia sebagai seorang yang peramah dan mesra.

Menurutnya, beliau mengenali Allahyarham sewaktu menghadiri program BernamaTV untuk mempromosikan Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka tahun lalu dan pertukaran pelajar antarabangsa mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

"Saya sempat berbual dengan Allahyarham sebelum sesi temu ramah dan banyak yang kami bualkan. Dia memang cukup peramah dan mesra.

"Apabila terbaca akhbar mengenai seorang jurukamera mati ditembak dan melihat gambar, saya terkejut dan tidak sangka Allahyarham yang saya kenal adalah mangsa peluru sesat itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kutipan RM1,400 hasil sumbangan penduduk di 14 kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai di sini hari ini.

Sumbangan untuk keluarga Allahyarham itu telah diterima oleh Ketua Biro Bernama negeri ini, Mohamad Bakri Darus.

Selain sumbangan tersebut, turut diadakan majlis tahlil yang dihadiri oleh wakil media dari Utusan Malaysia, Harian Metro, Bernama dan Melaka Hari Ini.

Hasan berkata, sumbangan itu walaupun sedikit tetapi ia diharap dapat memberi semangat kepada isteri Allahyarham, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelakinya, Mohd. Irfan, 8, dan Mohd. Naufal, 3.

Utusan
6 Sep 2011


Konvoi AU lepas tembakan

Komander Tentera Pengaman ikrar ambil tindakan terhadap anggota

KUALA LUMPUR: Kematian jurugambar BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, berpunca daripada tembakan dilepaskan tentera pengaman Kesatuan Negara Afrika (AU).

AU dalam kenyataannya berkata, siasatan awal menunjukkan sebuah daripada konvoi kenderaan AU melepaskan tembakan yang menyebabkan kematian Noramfaizul dan mencederakan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan dalam serangan di Mogadishu, Somalia, Jumaat lalu.

Malah, media Somalia turut memetik kenyataan Komander Tentera Pengaman AU, Mejar Jeneral Fred Mugisha yang berjanji akan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang melepaskan tembakan itu, tanpa menyatakan sama ada penambaknya sudah dikenal pasti.

Terdahulu, akhbar New York Times turut memetik kenyataan saksi di tempat kejadian yang dikenali sebagai Halima sebagai berkata, beliau melihat tentera pengaman AU melepaskan tembakan ke arah kereta yang membawa wartawan Malaysia di Mogadishu.

Sementara itu, Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata beliau sudah menerima laporan awal mengenai kejadian itu dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sebelum ini pegawai tentera Somalia menyatakan mereka mengesyaki tembakan dilepaskan pasukan tentera pengaman di situ, tetapi kita tidak dapat mengesahkannya ketika itu kerana belum menerima laporan penuh siasatan.

“Hari ini (semalam) saya menerima laporan awal siasatan mengenai insiden di Mogadishu dan akan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang ditemui selepas ditemu bual dalam segmen ‘Kopi O’ TV1 di Angkasapuri, semalam.

Turut serta dalam program itu yang disiarkan secara langsung ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada keluarga Noramfaizul bahawa mereka layak menerima pampasan perlindungan insurans sebanyak RM200,000 dan pihak insurans sedang menguruskan pembayarannya.

“Saya sudah berbincang dengan pihak insurans mengenai perkara itu dan memaklumkannya kepada bapa Allahyarham, Mohd Nor Mat Yassin mengenai wang pampasan ini. Semua 55 anggota misi bantuan dilindungi insurans sepanjang tahun bermula dari tarikh sebelum berlepas pada 28 Ogos lalu,” katanya.

Mengulas cemuhan dan tuduhan liar terhadapnya serta misi bantuan kemanusiaan yang dianjurkan Kelab Putra 1Malaysia, Azeez berkata: “Saya sudah melakukan 15 misi kemanusiaan ke seluruh dunia dengan segala persiapan mengenai aspek keselamatan sudah dipenuhi. Kepada yang mencemuh, saya ingin bertanya apa yang mereka sudah lakukan.

“Kejadian ini tidak akan mematikan semangat kami untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang ke seluruh dunia memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan. Malah, kami akan kembali ke Somalia untuk meneruskan misi ini, selain menamakan sebuah khemah pelarian di sana sempena nama Noramfaizul,” katanya.

Berita Harian
6 Sep 2011


Wisma Putra Mahu Empat Tentera Burundi Dikenakan Tindakan Sewajarnya

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri berharap empat anggota tentera Burundi yang terlibat dalam insiden tembakan yang menyebabkan kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, dikenakan tindakan sewajarnya.

Menteri berkenaan Datuk Seri Anifah Aman berkata misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) pada 26 Sept lepas secara rasminya telah menyempurnakan siasatan penuh terhadap empat tertuduh, yang sebelum ini dikatakan menembak dan menyebabkan kematian Allahyarham dan mencederakan Ajis Saregar Mazlan, wartawan TV3 di Mogadishu pada 2 September lalu.

"Dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak AMISOM, Kementerian Luar Negeri akan terus mengikuti perkembangan ini sehingga ke empat-empat tentera Burundi yang terlibat, diadili dan dihukumi mengikut undang-undang yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata pada 6 September lepas, Wisma Putra telah menerima laporan siasatan daripada pihak Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Somalia berhubung kes itu yang mendapati empat orang tentera Burundi bertanggungjawab terhadap kes itu.

"Bagaimanapun, laporan itu tidak sempurna kerana pihak polis Somalia tidak dapat mengambil kenyataan keempat-empat yang terlibat. Berdasarkan laporan polis Somalia, pihak AMISOM telah menjalankan penyiasatan dalaman dan mendapati bahawa keempat-empat yang dituduh itu didapati bersalah melepaskan tembakan ke atas Allahyarham (Noramfaizul)," katanya.

Pada Isnin, AMISOM memohon maaf terhadap kejadian itu dan melucutkan mereka yang terlibat daripada menjalankan tugas pasukan pengaman dan akan dihantar pulang ke Burundi untuk dibicarakan.

Noramfaizul, 39, terkorban setelah terkena tembakan ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu. -BERNAMA

28 Sep 2011


Arwah Noramfaizul terima pingat

AYER KEROH: “Syukur Alhamdulillah, penghargaan diterima ini atas jasa dan sumbangan diberikan Allahyarham selama ini,” kata isteri bekas jurukamera televisyen Bernama, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, Norazrina Jaafar, 37, selepas mewakili penerimaan Bintang Gagah Perkasa (BGP) bagi pihak suaminya sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob ke-73, semalam.

Pengiktirafan tunggal BGP itu diberi khas kerajaan Melaka sebagai menghargai pengorbanan dilakukan Allahyarham sehingga beliau terbunuh ketika menyertai misi bantuan anjuran Kelab Putera 1Malaysia di Somalia pada 2 September lalu.

Norazrina ditemani adik Allahyarham, Najihah, 28, turut mendedikasikan pengiktirafan itu sebagai inspirasi kepada rakan media lain untuk berbakti kepada negara, tanah air dan agama.

“Kami bagi pihak keluarga merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Melaka atas pengiktirafan diberikan kepada Allahyarham.

“Baru dua hari lalu (Khamis) saya mendapat tahu mengenai penganugerahan ini dan semoga ia menjadi inspirasi kepada yang masih hidup kerana Allahyarham sudah tiada.

“Saya mendedikasikan pengiktirafan ini sebagai pembakar semangat kepada rakan media lain untuk bersungguh-sungguh,” katanya.

myMetro
9 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment