November 12, 2010

Bekas jaguh lumba basikal maut

ANGGOTA polis memeriksa kereta Proton Saga yang dinaiki Daud selepas dirempuh sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rembau semalam.

REMBAU – Bekas jaguh lumba basikal negara, Daud Ibrahim meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.

Daud, 63, maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Saga yang dipandunya dirempuh sebuah treler dalam kejadian pukul 1 pagi itu.

Jurucakap polis berkata, selepas dirempuh, mangsa telah tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan.

“Bomba mengambil masa kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan mayat mangsa,” katanya yang memberitahu pemandu treler berusia 44 tahun itu tidak cedera.

Kosmo
12 Nov 2010


Kereta dirempuh treler


REMBAU: Bekas jaguh lumba basikal negara, Dawod@Daud Ibrahim, terbunuh selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 232.6, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, Dawod, 63, yang juga bekas jurulatih basikal kebangsaan mati di tempat kejadian kerana cedera parah di beberapa bahagian badan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan pulang ke Muar, Johor, dilanggar dari belakang treler.

Anak ketiga mangsa, Mohd Firdaus, 27, berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika mereka berjumpa tengah hari kelmarin sebelum bapanya ke Kuala Lumpur kerana urusan perniagaan.

“Pada pertemuan Aidilfitri lalu, ayah berpesan supaya menjaga ibu tiri serta adik-beradik lain dengan baik dan tidak mahu ada perbalahan apabila dia tiada nanti.

“Saya menerima berita kejadian yang menimpa ayah jam 3 pagi selepas dimaklumkan polis Muar,” katanya ditemui di Rumah Mayat Hospital Tampin, semalam.

REMUK...anggota polis memeriksa kereta arwah yang remuk dirempuh treler. 

Turut melawat jenazah mangsa pelumba basikal serta sahabat handai termasuk jurulatih lumba basikal negara, Datuk Ng Joo Ngan. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rani Jurah, 22, dan 13 anak serta tiga cucu.

Sementara itu Joo Ngan berkata, sepanjang mengenali Dawod sejak 40 tahun lalu, arwah seorang disegani serta disenangi termasuk di kalangan anak didik dan pemergiannya kehilangan kepada sukan lumba basikal negara.

Allahyarham membuat penyertaan sulungnya pada Sukan SEAP 1969 di Rangoon, mula menempa nama apabila meraih pingat emas dalam acara 1,600 meter di Sukan Asia pada 1970.

Setahun kemudian, Dawod menguasai acara lumba basikal apabila meraih lima pingat emas Sukan SEAP di Kuala Lumpur serta pernah mewakili negara ke Sukan Komanwel Ketujuh di Christcurch, New Zealand pada 1974 dan Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata berdasarkan siasatan awal, mangsa yang memandu seorang diri dan dalam perjalanan menghala ke selatan, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler yang bergerak dalam arah sama.

myMetro
12 Nov 2010


Jenazah selamat dikebumi

MUAR: Bekas pelumba basikal kebangsaan, Daud Ibrahim, 63, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tol Pedas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6 Bakri, selepas Zuhur semalam.

Allahyarham dikatakan bertolak pulang dari Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur ke Muar selepas menemui anaknya, Mohd Fakharuddin Daud yang juga seorang pelumba basikal sebelum kenderaannya dirempuh sebuah treler dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi.

Jenazah mangsa tiba di rumahnya di Jalan Daud, Muar dengan kenderaan jenazah Hospital Tampin jam 1 tengah hari untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Antara yang hadir memberi penghormatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim.

myMetro
12 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment