March 10, 2018

Tiga maut nahas sebuah kereta dengan dua motosikal berkuasa tinggi

Tiga maut dalam kemalangan di Kilometer 24, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli di sini petang tadi.

GERIK - Tiga lelaki maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan dua buah motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 24, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli di sini petang tadi.

Dalam nahas pada pukul 4 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Bezza, Ahmad Shadrul Amin Mohd. Sauki, 22 dan penunggang motosikal jenis Aprilia, Mohd. Rosli Hussin meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, seorang lagi penunggang motosikal jenis Kawasaki ZR yang masih belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Gerik di sini pada pukul 7.25 malam tadi.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu Ahmad Shadrul Amin bersama seorang penumpang, Muhamad Aziman Mahamood sedang dalam perjalanan dari arah Jeli menuju ke Gerik.

"Sewaktu kejadian, dua buah motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangi dua lagi mangsa sedang berkonvoi dari arah bertentangan.

"Hasil siasatan mendapati, ketika tiba di kawasan selekoh dan mendaki bukit, kereta tersebut dipercayai bergesel dengan motosikal jenis Kawasaki ZR," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Ismail Che Isa, insiden itu menyebabkan motosikal jenis Aprilia yang ditunggangi Mohd. Rosli yang berada di belakang motosikal berkenaan mengelak ke bahagian kiri jalan sebelum terbabas merempuh tembok.

Ujarnya, sewaktu kejadian, kereta jenis Perodua Bezza itu berpusing dan melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan.

"Motosikal yang ditunggang mangsa yang masih tidak diketahui identiti itu terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum lelaki itu tercampak masuk ke dalam longkang," katanya.

Jelasnya, nahas tersebut mengakibatkan penumpang kereta Perodua Bezza yang berasal dari Machang, Kelantan turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Taiping dekat sini.

Tambah Ismail, tiga mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

09 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment