May 28, 2016

Esok bayar!

HAZIQ Zulfaqar menunggu pelanggan yang di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Lima, Batu Pahat.

Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Tiada wang kecil, esok bayar,” itu kaedah dipraktikkan dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menarik pengguna jalan raya di simpang lampu isyarat di Jalan Simpang Lima, di sini, untuk membeli kopi dan sandwic dijual sejak lebih tiga minggu lalu.

Bermula jam 6.30 pagi hingga 9 pagi, kehadiran dua penuntut berkenaan dapat dilihat di laluan itu. Mereka menjual barangan perniagaan ala konsep pandu lalu dengan membawa kopi serta sandwic telur dijual pada harga RM1 dan RM2.

Malah, penghantaran secara terus ke kereta dan menyediakan kaedah bayaran pada keesokan harinya menarik perhatian pemandu yang melalui jalan berkenaan untuk membelinya.

Walaupun keuntungan diperoleh sedikit, ia cukup buat Mohd Hishamuddin Haris, 21, dan Haziq Zulfaqar Sallehudin, 22, kerana ia boleh digunakan bagi menampung kos perbelanjaan harian mereka.

Malah, keuntungan itu juga diharap dapat membantu membayar yuran pengajian, sekali gus meringankan beban ibu bapa mereka.

Menurut Mohd Hishamuddin, idea untuk berniaga kopi di tepi jalan itu tercetus selepas melihat seorang rakannya berniaga di bawah kondominium di Kuala Lumpur.

“Permintaan orang ramai yang menggemari minuman kopi memberi ilham untuk saya berniaga di sini. Kebetulan saya dan Haziq Zulfaqar sedang bercuti, jadi lebih baik masa lapang ini diisi dengan kegiatan berfaedah,” katanya.

myMetro 28 Mei 2016



0 comments:

Post a Comment