November 2, 2015

Suami isteri maut di LPT

Kereta dinaiki mangsa. FOTO ihsan pembaca

Maran: Suami isteri masing-masing berusia 24 tahun maut selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh belakang treler muatan baja di Kilometer 159.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, mangsa, Thoo Liang You dan isterinya Yap Li Ping maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke rumah mereka di Bukit Setongkol, Kuantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Thoo merempuh bahagian belakang treler membawa muatan baja yang bergerak perlahan di lorong kiri.

"Akibat rempuhan itu kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk dan dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati, Thoo dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk dan tidak menyedari kehadiran treler berkenaan di hadapan kenderaannya.

myMetro 2 November 2015


Pemandu letih rempuh treler


Maran: Perjalanan pulang sepasang suami isteri selepas menghabiskan cuti hujung minggu di Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila mereka terbunuh selepas terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 159.6 Lebuhraya Pantai Timur, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam itu, mangsa, Thoo Liang You dan isterinya, Yap Li Ping, kedua-duanya berusia 24 tahun maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas tersepit di tempat duduk.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Bukit Setongkol, Kuantan, dari Kuala Lumpur.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta Nissan Almera yang dipandu Thoo secara tiba-tiba merempuh belakang treler muatan baja yang bergerak perlahan di lorong kiri.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk sebelum anggota bomba mengeluarkan mereka.

“Bagaimanapun, mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba beberapa minit kemudian,” katanya, di sini, semalam.

Mat Rizal berkata, siasatan mendapati, Thoo dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk dan tidak sedar kehadiran treler berkenaan.

“Polis percaya pemandu mengantuk akibat keletihan kerana kejadian berlaku di jalan lurus dan ketika itu cuaca baik, namun berkabus.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka, di sini, untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.

myMetro 3 November 2015

0 comments:

Post a Comment