November 2, 2015

Bakar, tanam dan buang ke dalam sungai

KAWASAN dipercayai tempat membakar dan membuang mangsa di bengkel bas dan empat suspek yang disambung reman hari ini. FOTO Supian Ahmad dan Asrizal Aris.

Tapah: Polis tahan empat sekeluarga dipercayai terbabit dalam kes bunuh sekurang-kurangnya empat mangsa dengan cara membakar, menanam dan membuang tulang dan abu mayat mangsa ke dalam sungai dalam kejadian di bengkel bas di Jalan Pahang berhampiran Plaza Tol Tapah, di sini.

Difahamkan, jenayah kejam itu terbongkar hasil maklumat awam dan risikan polis berdasarkan laporan polis dibuat oleh ahli keluarga seorang daripada mangsa hingga suspek berjaya diberkas pada 26 Oktober lalu.

Suspek utama yang juga pemilik bengkel berkenaan ditahan di rumahnya yang juga dikawasan bengkel terbabit bersama isteri serta dua anaknya dan direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah.

Keempat-empat suspek berkenaan juga disambung reman pada hari ini oleh Majistret Nurul Nadia Abdul Razak selama empat hari lagi bagi membantu siasatan polis

Menurut sumber, seorang daripada mangsa adalah ejen hartanah berusia 46 tahun berasal dari Chenderiang, dekat sini pada hujung Ogos lalu.

"Semua mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dipukul sebelum dibakar di atas zink dan kemudian serpihan tulang serta abu dibuang ke dalam sungai berhampiran.

"Ejen hartanah itu dipercayai dibunuh dan ditanam di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 5, Jalan Pahang, kira-kira 10 kilometer dari bengkel suspek.

"Berpandukan soal siasat terhadap suspek polis kemudian menemui beberapa serpihan tulang dipercayai milik mangsa lain yang dibuang ke dalam sungai," katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan di bengkel berkenaan hari ini mendapati polis sudah selesai menjalankan pemeriksaan di kawasan terbabit.

Kawasan bengkel berkenaan dipenuhi dengan kira-kira 30 ekor anjing dipercayai milik suspek dan difahamkan rumah dan bengkel berkenaan disewa oleh suspek daripada seorang penduduk setempat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, setakat ini siasatan mendapati terdapat pelbagai motif pembunuhan dan siasatan lanjut sedang dijalankan dan sidang media mengenai kes itu akan dibuat oleh Polis Perak pada hari ini.

myMetro 2 November 2015


Empat mangsa dipotong, dibakar

TAPAH – Penahanan empat sekeluarga yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang broker tanah di Batu 1, Jalan Pahang di sini, membongkar satu rahsia besar apabila suspek rupa-rupanya turut menjadi dalang tiga kes lain dengan modus operandi sangat kejam iaitu bunuh, potong dan bakar.

Dalam kejadian yang menyerupai kes pembunuhan jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya itu, motif kejadian dikaitkan dengan hutang, kegagalan urusan jualan tanah dan masalah pekerja.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, abu mayat mangsa dikatakan dibuang di Sungai Ceroh yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah dan bengkel bas suspek di Batu 1, Jalan Pahang.

Katanya, jenayah kejam tersebut terbongkar selepas empat suspek itu ditahan polis di rumah mereka pada 26 Oktober lalu.

Katanya, tangkapan dilakukan pada pukul 1.30 petang ke atas suspek yang terdiri daripada tiga lelaki berusia 57 tahun (bapa), 20 tahun (anak lelaki), 17 tahun (anak lelaki) dan wanita berumur 54 tahun (isteri suspek pertama).

“Mangsa pertama merupakan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai broker tanah dan pekebun. Dia dilaporkan hilang pada 25 Ogos lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Sungai Lah, Tapah.

“Selepas dua bulan, kes kehilangan mangsa disiasat sebagai orang hilang pada peringkat awal kerana tidak ada sebarang kesan atau panggilan telefon.

“Kemudian pada 26 Oktober lalu, hasil siasatan polis ke atas kes itu, tangkapan telah dilakukan ke atas satu keluarga,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh semalam.

Kosmo 3 Nov 2015


'Bapa maklum sudah penat bekerja'

Klang: "Sebelum hilang Jun tahun lalu, bapa saya ada memaklumkan kepada kami sekeluarga bahawa beliau sudah penat bekerja dan tugasan luar kawasan yang dilakukan itu adalah yang terakhir," kata anak kepada juru jual alat ganti kenderaan yang juga seorang daripada mangsa kes bunuh dan bakar di Tapah, Perak.

Beliau yang enggan dikenali berkata, kehilangan bapanya itu hanya disedari selepas majikan bapanya gagal menghubungi telefon bimbit mangsa.

Katanya, disebabkan khuatir dengan keselamatan bapanya, mereka sekeluarga membuat laporan polis untuk memaklumkan kehilangan dan tindakan selanjutnya dari pihak berkuasa.

Menurutnya, kira-kira sebulan selepas kehilangan itu, polis menemui kereta bapanya di dalam gaung sedalam 20 meter di Cameron Highland, Pahang.

"Apa yang membingungkan, walaupun kereta ditemui, namun mayat bapa tidak dapat dikesan di dalam kenderaan mahu pun di sekitar lokasi kejadian," katanya ketika ditemui.

Penantian mereka akhirnya terjawab selepas menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah yang memaklumkan terdapat perkembangan dalam kes kehilangan bapanya.

Katanya, mereka sekeluarga diarahkan untuk ke IPD Tapah bagi bertemu dengan pegawai penyiasat, Jumaat lalu.

"Polis meminta kami menghantar bukti pembelian komputer riba yang ditemui mereka dan selepas disiasat ianya milik bapa.

"Sampel darah kami juga sudah diambil untuk ujian DNA untuk ujian pemadanan dengam DNA yang ditemui polis," katanya.

Tambahnya, dengan perkembangan terbaru ini, mereka sekeluarga berharap siasatan dapat dilakukan dengan cepat agar misteri kehilangan bapanya dapat dirungkai dan suspek dapat dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

myMetro 3 November 2015


Terkilan tidak teman adik hari kehilangannya

TAPAH - Abang kepada seorang daripada mangsa yang dipercayai dibunuh empat sekeluarga di sekitar daerah Tapah, minggu lepas berasa amat terkilan kerana tidak dapat menemani mangsa pada hari kehilangannya.  

Demikian luahan Karamjit Singh, 54, yang merupakan abang sulung kepada seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang yang dipercayai hilang pada 25 Ogos lepas.

"Selalunya saya teman adik ke mana sahaja dia pergi cuma pada hari kehilangan dia, saya sangat letih kerana baru pulang dari Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik, didapati hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas 7 malam.

"Selalunya adik balik dalam pukul 2 petang tetapi hari itu lewat pula.

"Pada 10 pagi masa hari kehilangannya, dia masih boleh dihubungi oleh pekerjanya. Beliau hilang ketika membeli makanan untuk enam orang pekerja termasuk seorang anaknya," kata Karamjit.

Karamjit berkata beliau bersama anggota keluarga yang lain cuba mencari mangsa selama empat hari sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Tapah.

"Kami mencari sehingga ke Hospital Slim River dan Hospital Ipoh kerana mengingatkan adik saya terlibat dalam kemalangan.

"Saya juga ingat adik saya kena culik tetapi tiada pula orang datang minta tebusan," katanya.

Menurut Karamjit sebelum ini, mangsa ada beritahu diganggu oleh seseorang yang mahu membeli tanah.

"Saya lihat masa itu, ada orang menghubunginya tetapi dia tak mahu jawab disebabkan lelaki itu desak jual tanah dengan harga murah.

"Tetapi adik kata dia cuma tolong jual sahaja jadi tak boleh nak jual dengan harga yang murah," katanya.

Karamjit berkata selepas membuat laporan polis, beliau bersama anggota keluarga dibawa ke sebuah syarikat telekomunikasi di Pulau Pinang untuk mengesan orang terakhir yang menghubungi atau dihubungi mangsa.

"Kami dapat kesan tapi nombor telefon itu didaftar di bawah nama orang Cina," katanya.

Katanya mangsa seorang yang peramah serta baik hati dan kehilangan beliau dirasai oleh semua penduduk di sekitar Chenderiang, di sini.

"Dia seorang yang paling peramah dan tidak mempunyai musuh di luar," katanya.

Mengenai suspek kes itu, Karamjit berharap mahkamah akan membuat keputusan yang adil.

"Saya berharap mereka terima balasan daripada mahkamah. Macam mana adik saya mati, itu yang patut mereka rasa," katanya. - Bernama

4 Nov 2015


Gigi, tulang milik mangsa bunuh ditemui

TAPAH - Polis menemui gigi, serpihan tulang, kasut dan pakaian dipercayai milik mangsa bunuh di sekitar kawasan rumah suspek di Jalan Pahang, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata kesemua barangan tersebut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Jabatan Kimia untuk tujuan post-mortem dan analisis DNA, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati polis membawa keluar barangan yang ditemui pada kira-kira 5.30 petang dari kawasan rumah suspek.

Goh berkata sehingga petang ini, tiada laporan mengenai mangsa lain yang dibunuh atau sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Isnin lepas polis menahan sepasang suami isteri dan dua anak lelaki mereka selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh melibatkan sekurang-kurangnya empat individu di sekitar daerah Tapah, 65 kilometer dari sini minggu lepas.

Kesemua suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Pahang, Tapah pada kira-kira 1.30 tengah hari pada 26 Oktober lepas.

Mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini. - Bernama

4 Nov 2015


Suspek sering hantar mak balik rumah

TAPAH - "Mak saya selalu hantar bas ke bengkel itu untuk dibaiki tapi masih rosak. Saya tengok dia (suspek) macam menipu mak saya," kata R.Durisinggam.

Anak lelaki kepada wanita yang juga pengusaha bas yang dipercayai dibunuh empat sekeluarga di Jalan Pahang, di sini, berkata ibunya, V Gunavathi, 56, sering menghantar bas yang rosak kepada suspek utama kes itu yang merupakan pemilik bengkel berkenaan.

"Saya selalu nampak suspek hantar mak saya balik ke rumah. Memang selalu. Mak saya tinggal bersebelahan rumah saya sahaja," Durisinggam, 40-an, ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini hari ini.

Gunavathi yang dilaporkan hilang tahun lepas dipercayai antara empat mangsa pembunuhan kejam yang dilakukan empat sekeluarga itu.

Semua mangsa dipercayai dibunuh sebelum dibakar dan tulang serta abu mayat dibuang ke Sungai Ceroh yang mengalir di belakang bengkel berkenaan.

Pembunuhan kejam itu terbongkar selepas polis menyerbu bengkel membaiki kenderaan berat di Jalan Pahang di sini pada 26 Oktober lepas, selepas mendapat maklumat mengenai seorang lelaki, Jasbeer Singh a/l Beer Sing yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 25 Ogos lalu.

Susulan itu polis membongkar kehilangan tiga lagi individu termasuk Gunavathi yang dipercayai mangsa pembunuhan kejam di bengkel sama dan polis percaya ada orang lain yang menjadi mangsa keluarga itu.

Durisinggam berkata dia mengetahui kehilangan ibunya tahun lepas selepas dimaklumkan rakannya.

"Ia berlaku pada Februari tahun lepas, saya ketika itu berada di Singapura melawat isteri dan anak di sana dan seorang kawan menelefon memberitahu mak saya tiada di rumah.

"Kalau tak silap, saya ke Singapura pada Jumaat dan kawan saya telefon pada Rabu minggu hadapannya," katanya.

Durisinggam berkata dia pulang ke Tapah selepas mendapat tahu perkara itu dan terus membuat laporan polis.

"Sebelum ini, orang dekat sini tuduh saya bunuh mak, buat apa saya nak bunuh mak...pada masa itu saya di Singapura.

"Saya pun ada anak bini, buat apa saya nak bunuh mak sendiri. Sebelum ini saya pernah nampak orang lain gaduh dengan mak. Sebelum tahu berita ini, saya syak mak dibunuh," katanya yang juga merupakan seorang pekebun.

Durisinggam berkata dia ke Singapura setiap bulan untuk melawat isteri dan anaknya di sana.

"Saya dapat tahu kes ini bersangkut paut dengan kehilangan mak selepas dihubungi polis baru-baru ini," katanya sambil menambah bapanya sudah lama meninggal dunia. - Bernama

4 Nov 2015


Diganggu 'lembaga'

RAFIKAH menunjukkan kolam tempat dia melihat lembaga lelaki berambut pendek.

Tapah: Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Ceroh, lokasi dipercayai tempat pembuangan serpihan tulang dan sisa abu empat mangsa pembunuhan kejam di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Pahang, di sini, sejak kira-kira dua bulan lalu sering diganggu ‘sesuatu’ termasuk kemunculan lembaga di kawasan sungai berkenaan.

Penduduk, Rasinah Mohd Ropik, 25, berkata, dia dan keluarga sejak lebih setahun lalu sering mendapat gangguan dipercayai berpunca daripada sesuatu yang berlaku di bengkel kenderaan terbabit.

Menurutnya, gangguan itu semakin menjadi-jadi sejak hujung Ogos lalu dan apabila kes pembunuhan kejam terbabit terbongkar minggu lalu mengukuhkan lagi sangkaan mereka kawasan kediaman mereka menjadi berhantu disebabkan apa yang berlaku di bengkel berkenaan.

“Sejak tahun lalu, terdapat gangguan seperti orang mencakar dinding dan bumbung rumah, ia semakin kerap kebelakangan ini dengan adik saya turut menjadi mangsa apabila jatuh sakit selepas terkejut melihat lembaga seperti lelaki berambut pendek mandi dalam kolam ikan jam 1 pagi di tepi sungai berkenaan yang terletak beberapa meter saja dari bengkel itu.

“Kami memang tidak berani keluar malam atau membuka pintu kerana berasa seram setiap kali melakukannya dan sejak kes ini terbongkar kami menjadi lebih takut,” katanya ketika ditemui, semalam.

myMetro 5 November 2015


Isteri mangsa tidak berhenti menangis

TAPAH - "Isteri Jasbeer tak berhenti menangis, anak-anak pula tidak mahu pergi ke sekolah," kata Karamjit Singh, 54.
 
Itu yang diluahkan abang sulung Jasbeer Singh, 46, yang dipercayai dibunuh empat sekeluarga di sekitar bengkel membaiki kenderaan berat di Jalan Pahang di sini.
 
"Saya minta adik perempuan saya yang menetap di Ipoh untuk bawa dia (isteri mangsa) dan anak-anak pergi ke Ipoh .. tak mahu dia terlampau memikir sangat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
 
Jasbeer merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dipercayai dibunuh suspek selepas dilaporkan hilang pada 25 Ogos lepas.
 
Menurut Karamjit, isteri dan anak-anak mangsa mungkin pulang ke sini pada minggu hadapan.

Katanya, anak perempuan mangsa sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Chenderiang, di sini.
 
"Setiap hari masa peperiksaan akan ulang alik dari Ipoh sampai ke Chenderiang untuk menduduki SPM. Pada mulanya dia tak mahu ambil SPM tetapi setelah dipujuk banyak kali dia pergi" katanya.
 
Adik Jasbeer, Harjit Singh, 40, berkata beliau telah mendapatkan penjelasan daripada polis yang menafikan laporan akhbar tempatan berhubung cebisan daging mangsa diberikan kepada anjing.
 
"Semua anggota keluarga yang lain terguris dengan laporan itu. Saya bimbang orang ramai akan mempercayai laporan berkenaan, sedangkan pihak polis menjelaskan bahawa perkara itu tidak berlaku.
 
"Saya tanya kepada polis betul ke apa yang dilaporkan (beri anjing makan daging mangsa) dan mereka kata ia tidak berlaku," katanya yang hadir bersama abang seorang lagi yang dipercayai turut menjadi mangsa, Ng Chee Meng @ Kurunadan.

Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan penduduk setempat mendakwa cebisan daging mangsa yang telah dibakar diberikan kepada anjing peliharaan suspek.
 
Dalam pada itu, Harjit Singh berkata anggota keluarga sedang menunggu pengesahan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) mangsa.
 
"Apabila sudah sah baru kami bersedia beri kenyataan," katanya.
 
Sementara itu, anak tiri kepada seorang lagi dipercayai mangsa dalam kes itu, R.Duriahsinggam, 47, berkata sambutan Hari Deepavali tahun ini suram dengan kehilangan ibu tirinya, V.Gunavathi, 56, dan nenek isterinya.
 
"Walaupun tidak rapat sangat dengan ibu tiri tetapi tahun ini perayaan lebih kepada upacara sembahyang," katanya. - Bernama

Sinar Harian 6 November 2015


0 comments:

Post a Comment