August 11, 2013

Lelaki Maut Bila Bungkusan Diambil Meletup Di Tumpat

Anggota polis memeriksa mayat Mohd Yusrizal Mat Zain, 32 yang mati akibat satu bungkusan yang diletakkan di atas bumbung sebuah kereta yang diambilnya tiba-tiba meletup dalam kejadian di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk di Tumpat, Ahad. Foto BERNAMA


Gambar myMetro

TUMPAT: Seorang lelaki terbunuh apabila bungkusan yang ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya meletup dalam kejadian di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk di sini Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng berkata, kejadian berlaku pukul 11 pagi ketika Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, cuba mengambil bungkusan yang diletak di atas bumbung MPV milik abang iparnya.

"Letupan berkenaan menyebabkan mangsa cedera parah di kedua-dua tangan serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ditempat kejadian.

Mohd Yusrizal yang berasal dari Kampung Kenor, Kuala Krai dan bertugas sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan Manik Urai, Kuala Krai, dikatakan tiba di rumah mentuanya itu malam Sabtu bagi meraikan Aidilfitri.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia empat bulan.

Sementara itu abang ipar mangsa yang enggan dikenali, berkata bungkusan berwarna hitam berkenaan disedari isteri mangsa ketika membuka pintu rumah yang kemudian memaklumkan kepada mangsa.

Mangsa kemudian keluar daripada rumah untuk mengambil bungkusan itu sebelum mereka terdengar bunyi letupan, katanya.

Seorang jiran, Kamaruddin Che Mat, 56, yang sedang berehat di luar rumah, berkata dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah rumah mentua mangsa.

"Ini disusuli rasa bergegar, kemudian saya terdengar jeritan meminta tolong, saya pergi ke arah jeritan meminta tolong itu dan nampak seorang wanita iaitu isteri mangsa duduk dekat mangsa," katanya.

Ketika berita ini ditulis, polis masih membuat siasatan di tempat kejadian.

Menurut Lai kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

11 Ogos 2013


Nak bunuh siapa?

MANGSA yang maut di tempat kejadian, semalam.

Tumpat: Siapa yang hendak dibunuh? Itu tanda tanya mengenai kejadian letupan satu objek dipercayai mengandungi bahan letupan yang diletakkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra sehingga mengorbankan seorang kerani sekolah dalam kejadian di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, di sini, semalam.

Kejadian jam 11 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, dari Kampung Kenor, Kuala Krai, putus kedua-dua pergelangan tangan serta perut terburai dan meninggal dunia di tempat kejadian.

MPV itu bukan milik mangsa sebaliknya milik abang iparnya yang pulang bercuti menyambut Aidilfitri di rumah mentuanya.

Kejadian berlaku di pekarangan rumah mentua mangsa dan letupan menyebabkan MPV berkenaan rosak teruk, manakala sebuah kereta Perodua Alza yang diparkir bersebelahan turut rosak terkena serpihan bahan letupan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan masih dilakukan mengenai bungkusan berkenaan serta motif kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, abang ipar mangsa yang enggan dikenali berkata, isteri mangsa melihat objek hitam di atas MPV berkenaan ketika membuka pintu rumah sebelum memaklumkan kepada mangsa.

Mangsa mengambil objek itu, tetapi tiba-tiba berlaku letupan.

Letupan berkenaan menyebabkan mangsa tercampak dan serpihan daging mangsa turut tercampak beberapa meter dari tempat kejadian.

Selain isterinya, mangsa meninggalkan seorang bayi perempuan berusia empat bulan.

myMetro 12 Ogos 2013


Objek disangka lampu suluh

Tumpat: “Saya meletakkan kereta ini sejak jam 9 malam tadi (kelmarin) selepas pulang daripada menghadiri kenduri kahwin rakan di Kota Bharu. Ibu mentua yang keluar rumah pada jam 4 pagi tadi (semalam) tidak nampak sebarang objek di atas bumbung kereta itu.

“Bagaimanapun, pagi tadi jam 10.30 pagi, saya menyelak langsir dan ternampak satu objek di atas kereta suami,” kata Norliana Nazihah Mohd Nasir, 28, biras Mohd Yusrizal Mat Zain, 32 yang maut apabila objek dipercayai bahan letupan diambil di atas bumbung MPV Naza Citra meletup, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, di sini, mangsa mengambil objek di bumbung kenderaan milik abang iparnya, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kulim, Kedah, Lans Koperal Mohd Hafiz Mohd Nawi, 29.

Mangsa meninggalkan seorang balu, Dayang Idayu Mohd Nawi, 26, dan bayi perempuan berusia empat bulan, Dhia Raiyani Aisyfrina.

Menurutnya, objek itu seperti lampu suluh dan dia segera memaklumkan kepada Dayang Idayu.

“Saya bertanya kepada Dayang Idayu siapa yang tertinggal lampu suluh. Mungkin biras saya mendengar perbualan kami dan keluar mengambil objek itu.

“Tiba-tiba saya terdengar letupan kuat dan lihat biras saya terbaring berlumuran darah,” katanya.

Sementara itu, kejadian berkenaan menggemparkan penduduk di sekitar perumahan berkenaan dan penduduk sekitar Tumpat.

Lebih mendebarkan, anggota Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Unit Anjing Pengesan yang menjalankan siasatan di tempat kejadian mengarahkan penduduk beredar 100 meter dari tempat kejadian.

Dipercayai anggota berkenaan menemui serpihan bahan letupan sebelum menggunakan robot pemusnah bom untuk mengambil serpihan berkenaan.

myMetro 12 Ogos 2013


‘Telinga saya berdesing’

Tumpat: “Telinga saya berdesing kerana letupan itu amat kuat, malah saya juga merasai gegarannya,” kata Kamaruddin Che Mat, 56, jiran mangsa yang ketika itu duduk di luar rumah.

Menurutnya, dia kemudian mendengar jeritan isteri mangsa meminta tolong dan segera ke tempat kejadian.
“Saya lihat asap putih berkepul dan mangsa terbaring dalam keadaan nazak. Saya lihat dia dipangku isterinya yang mengajar mengucap dua kalimah syahadah.

“Dia meninggal dunia 20 minit kemudian. Saya lihat dia putus kedua-dua pergelangan tangan dan perutnya terburai. Saya tidak mampu berbuat apa-apa dan menghubungi polis,” katanya.

myMetro 12 Ogos 2013


'Ada orang hutang arwah'

Gambar Allahyarham Mohd Yusrizal bersama isteri, Dayan Edayu Mohd Nawi dan anaknya, Dhia Kayyani Arsyfrina, 4 bulan ada hari raya lalu. -Foto Rohaida Omar / BH

Kerani maut bungkusan atas kereta meletup

Kuala Krai: “Arwah suami ada cakap, dia tak ada hutang dengan sesiapa, tapi orang lain yang berhutang dengannya,” kata isteri Mohd Yusrizal Mohd Zain, 32, kerani yang maut dalam kejadian letupan, di Tumpat, kelmarin.

Dayan Idayu Mohd Nawi, 26, berkata dia bertanyakan perkara itu kepada mangsa ketika mereka sekeluarga termasuk anak perempuan, Dhia Kayyani Arsyfrina, empat bulan, dalam perjalanan dari sini ke rumah emaknya di Taman Seri Periuk, Kok Seraya, Tumpat.

“Sebelum kejadian, arwah suami langsung tak tunjukkan sebarang perubahan, namun saya tak tahu kenapa tiba-tiba saja terkeluar pertanyaan, sama ada arwah ada berhutang dengan sesiapa. Selepas arwah bagi penjelasan, perbualan mengenai hutang itu terhenti begitu saja,” katanya.

Jenazah Yusrizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kenor, dekat sini jam 1 pagi semalam. Mangsa yang pulang beraya di rumah mentuanya di Tumpat, terbunuh selepas satu bungkusan ditinggalkan di bumbung kereta abang iparnya, Lans Koperal Mohd Hafiz Mohd Nawi, 29, yang sedang diangkatnya tiba-tiba meletup.

Maklum ada benda pelik

Idayu berkata, sebelum kejadian, arwah suami sempat bermain dengan anak mereka sebelum dimaklumkan ada satu benda pelik berwarna hitam, seakan-akan bungkusan di atas kereta Hafiz yang juga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kulim, Kedah.

“Dari dalam rumah, benda itu kelihatan seakan-akan lampu suluh berwarna hitam. Arwah suami yang tak puas hati keluar untuk memeriksa, tapi tak sampai beberapa saat kemudian, saya terkejut terdengar letupan kuat sehingga menggegarkan rumah.

“Keluar dari rumah, saya lihat asap berkepul dan terus meluru mencari suami dalam asap tebal itu sebelum menemuinya terbaring. Ketika itu, arwah masih bernyawa walaupun tenat dan seperti cuba memberitahu sesuatu, namun suaranya tak keluar sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira 15 minit kemudian,” katanya.

Siasatan menyeluruh

Di Kota Bharu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, berkata polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci kes berkenaan termasuk motif.

“Kita tak boleh sahkan lagi sama ada bahan letupan buatan sendiri itu disasarkan kepada mangsa atau pemilik kenderaan yang juga anggota PGA. Kita siasat secara menyeluruh, bukan menjurus kepada sesuatu aspek saja,” katanya.

Katanya, polis sudah menghantar sampel serpihan bahan letupan itu ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengenal pasti bahan serta jenis letupan digunakan dalam kejadian terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita minta orang ramai tak bimbang dengan kejadian ini kerana ia kes terpencil. Saya jamin tahap keselamatan di negeri ini terkawal walaupun sebelum ini ada beberapa kes tembak,” katanya.

Berita Harian 13 Ogos 2013


Kematian kerani tiada petunjuk

PASUKAN penyiasat masih memeriksa kawasan kejadian yang mengorbankan Yusrizal (gambar kecil) akibat serangan di Taman Sri periok, Tumpat semalam.

KOTA BHARU – Pasukan khas polis turun buat hari kedua ke lokasi kejadian kerani sekolah mati dibom di Taman Sri Periok, Tumpat kelmarin, namun setakat semalam mereka belum menemui apa-apa petunjuk mengenai motif kejadian tersebut dan siapa suspek yang terlibat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pasukan khas itu yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Sharifudin Yusof sedang melakukan siasatan secara menyeluruh mengenai motif, penglibatan pihak tertentu, sasaran dan sebagainya.

Menurut beliau, semua aspek mengenai kejadian itu termasuk kemungkinan bom tersebut daripada jenis yang digunakan oleh pengganas di Selatan Thailand turut diteliti.

“Kita sudah mengambil keterangan dan menjalankan siasatan terhadap lapan orang dewasa ahli keluarga mangsa yang berada di dalam rumah tersebut ketika kejadian dan menyiasat motif serta sasaran bom itu termasuk kemungkinan bom tersebut hanya bom ikan.

Kosmo 13 Ogos 2013


Tragis mangsa letupan

Ibu Mohd Yusrizal (bertudung merah) masih terkejut dengan kejadian menimpa arwah.

Dayan Edayu memangku anak tunggalnya.

KUALA KRAI – Anak tunggal mangsa letupan di Taman Seri Periuk, Dhia Rayyani Aisyfrina,4, bulan tercari-cari bapanya, Mohd Yusrizal Mat Zain,32,  sebaik bangun tidur pagi semalam.

Isterinya, Dayan Edayu Mohamad Nawi,26, Pembantu Tadbir di Sekolah Kebangsaan Chenulang, Kuala Krai berkata,  anak tunggalnya begitu rapat dengan arwah suaminya berbanding dirinya.

Katanya, sebelum ke tempat kerja, arwah akan menghantar serta mengambil Dhia Rayyani Aisyfrina, dari rumah mertuanya di Kampung Kenor  untuk dijaga sepanjang dia dan suami bekerja.

“Kami tinggal di kuaters di Chenulang, jadi sebelum ke tempat kerja suami akan menghantar dan mengambil anak dari rumah mertua di Kenor.

“Kebiasaannya anak akan bersama-sama saya hanya pada sebelah malam, selebihnya dia bersama suami,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya lagi, sebelum kejadian, anaknya seakan dapat merasakan kejadian buruk akan menimpa bapanya dan kerap menangis.

Katanya, dia menyangka anaknya sakit sehinggalah kejadian menimpa arwah pagi kelmarin.

“Anak lebih rapat dengan arwah, dia seakan dapat merasakan perkara buruk akan berlaku apabila kerap menangis tanpa sebab.  

Sementara itu, ibu arwah ,Supiah  Mad Nor,63 berkata, arwah beria-ia menghantarnya ke kelas mengaji sebelum berangkat ke Tumpat tetapi dia menolaknya bimbang mereka sekeluarga lewat sampai.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan bagi Mohd Yusrizal menghantarnya ke mana sahaja tempat dia hendak pergi.

“Selalunya dialah yang menghantar makcik ke mana sahaja makcik hendak pergi terutama ke tempat dia mengaji al-Quran malah selalu berpesan supaya memaklumkan kepadanya ke mana makcik nak pergi kerana dia mahu menghantarnya,” katanya .

Supiah berkata ,sepanjang sambutan Aidilfitri tahun ini dia dapat mengesan perubahan sikap Mohd Yusrizal yang kelihatan tidak seceria selalu tetapi tidak mengambil kisah perkara itu dan tidak menyangka ia antara petanda anak kelimanya  akan pergi meninggalkan keluarga dalam keadaan tragis, pagi kelmarin.

Tambahnya, mereka sekeluarga masih terkejut dengan cara pemergian arwah dan menyifatkan Mohd Yusrizal seorang anak yang baik dan rapat dengan semua ahli keluarga termasuk bapanya.

“Makcik tidak menyangka dia meninggal, menantu hanya telefon meminta makcik ke sana (ke Taman Seri Periuk) dengan segera kerana arwah kemalangan.

“Makcik tidak tahu, sebenarnya ketika itu arwah telah tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kenor,pagi semalam.

Mohd Yusrizal Mat Zain,32, mangsa letupan ketika cuba mengambil bungkusan di atas bumbung MPV kereta abang iparnya maut dalam keadaan tragis dengan perut terburai dan kedua-dua tangannya putus.

Jenazah Mohd Yusrizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor kira-kira jam 1 pagi semalam.

Adun Guchil, Roslan Puteh dan isteri, Noor Semila Mohd Arifin turut menziarahi keluarga mangsa.

Sinar Harian 13 Ogos 2013


Letupan bom: Sarjan didakwa bunuh kerani sekolah

TUMPAT - Seorang anggota tentera berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh seorang kerani sekolah dalam kejadian letupan bom dalam bungkusan, pada 11 Ogos lepas.
 
Che Rosli Che Daud, 29, yang bertugas di Batalion 21 Rajimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kota Baharu, didakwa membunuh Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, antara 10 pagi dan 11 pagi, di sebuah rumah di Lot 127, Blok N, Perumahan JPN Kok Seraya, Chabang Empat di sini.
 
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.

Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhnan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
 
Mahkamah menetapkan 1 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kepada peguam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.
 
Dalam Kejadian itu, Mohd Yusrizal yang merupakan kerani Sekolah Kebangsaan Manek Urai, Kuala Krai, maut dengan kedua-dua tangannya putus ketika mengambil bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna di halaman rumah mentuanya.
 
Berikutan kejadian itu, polis Kelantan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut.  - Bernama

27 Ogos 2013


Bekas tentera dijel 20 tahun

Kota Bharu: Seorang bekas tentera berpangkat Sarjan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Che Rosli Che Daud, 31, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd Yusrizal Mat Zain, 34, dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh menyebabkan kematian di hadapan sebuah rumah di Perumahan JPN Kok Seraya, Chabang Empat, Tumpat antara 10 hingga 11 pagi, 11 Ogos 2013.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang kerani maut selepas terkena letupan bom buatan sendiri yang diletakkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna dalam kejadian di Perumahan JPN Kok Seraya,Chabang Empat, Tumpat, dua tahun lalu.

myMetro 18 November 2015




0 comments:

Post a Comment