May 21, 2011

Tragedi Tanah Runtuh Rumah Anak Yatim



FAKTA:


KEJADIAN : Tanah runtuh menyebabkan 16 maut dan 9 cedera termasuk dua parah
LOKASI: Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, Kajang
TARIKH DAN WAKTU : 21 Mei 2011, 2.15 petang

Mangsa yang terkorban

1. Mohd Azret Azahari, 8
2. Mohd Naerzeim M. Nor, 8 (anak Ketua Pentadbiran dan Pembangunan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa)
3. Shahrul Nurimran Adnan, 9
4. Mohd Imal Fahad, 9
5. Mohd Riezman Abd Latif, 9
6. Mohd Aiman Abdullah, 10
7. Mohd Hazim Sapri, 10
8. Mohd Kamarul Amizan, 11
9. Ahmad Lokman Hakim, 11
10. Wan Ahmad Hasril Hazim, 11
11. Mohd Mustakim Mamat, 12
12. Nurahimi Rosdi, 14
13. Mohd Zaid Azahari, 14
14. Dzarhir Haziq Mohd Muin, 18
15. Zahid Assawal Zamri, 19
16. Farid Ibrahim, 34


Mangsa yang terselamat

1. Khairul Anwar Nazmi, 9
2. Mohd Akmal Mohd Jefri, 10
3. Mohd Haris Izzueddin Sahrul, 11
4. Zulkhairi Aminuddin, 11 – dipotong kaki kanan dan dirawat di ICU
5. Mohd Aizat Khusyairi Abdul Karim, 12 - dipotong kaki kiri dan dirawat di ICU
6. Mohd Allaudin Safri, 14
7. Mohd Syafiq Ibrahim, 22
8. Izzuddin Abdulah, 30
9. Mohd Erwan Zakaria – 33



Tragedi Tanah Runtuh: Dua mayat kanak-kanak dikeluarkan


KEADAAN Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, Kajang, dalam kejadian tanah runtuh, hari ini. Laporan awal sebelum ini menyebut, kira-kira 20 hingga 30 penghuni rumah anak yatim itu dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.20 petang tadi. - Foto Yazit Razali May 21, 2011 5:27 pm

KAJANG: Dua mayat kanak-kanak penghuni Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, sudah dibawa keluar dari tempat kejadian tanah runtuh di situ, sebentar tadi.

Enam lagi kanak-kanak berjaya diselamatkan dan keadaannya dilaporkan parah selepas anggota penyelamat dan penduduk kampung mengorek tanah yang tertimbus.

Mereka yang cedera kini dibawa ke Hospital Kajang.

Laporan awal sebelum ini menyebut, kira-kira 20 hingga 30 penghuni rumah anak yatim itu dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.20 petang tadi.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ketika dihubungi Berita Harian Online sebentar tadi berkata, setakat ini tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan.

Berita Harian
21 Mei 2011


Seramai 49 orang berada di kawasan Rumah Anak Yatim Al-Takwa:Polis

KAJANG: Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seramai 49 orang berada di kawasan Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis ketika kejadian tanah runtuh itu berlaku.

Katanya, seramai 24 orang terperangkap akibat kejadian berkenaan iaitu 20 pelajar dan empat warden.

"Difahamkan berlaku dua tanah runtuh serentak pada masa kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau juga berkata, dua mangsa yang maut masing-masing berumur 11 dan 14 tahun.

Sementara itu, Tun Hisan meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian supaya menjauhkan diri mereka kerana bimbang tanah runtuh berlaku lagi.

Berita Harian
21 Mei 2011


'Tiba-tiba tanah kejar saya': Saksi tragedi tanah runtuh


KAJANG: "Saya dengar bunyi dentuman kuat, tiba-tiba tanah kejar saya," kata Ketua Warden Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Mohamad Hambali Ismail, 34, ketika ditemuramah wartawan Berita Harian Online, sebentar tadi.

Katanya, ketika kejadian 2.15 petang itu, seramai 23 penghuni sedang membuat persiapan untuk menyambut ketibaan rombongan FINAS yang dijadualkan makan tengah dan beramah mesra dengan anak yatim.

"Ketika sedang sibuk membuat persiapan, saya terdengar dentuman kuat. Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa lari menyelamatkan diri," katanya.

Beliau berkata, sementara menunggu rombongan FINAS, anak yatim terbabit sebahagiannya berlatih kompang dan nasyid.


Ketika kejadian, 23 orang berada di bawah khemah untuk majlis makan tengah hari itu.

Rumah anak yatim berkenaan mempunyai 34 penghuni, semuanya lelaki.

Setakat ini, dua penghuni maut dan enam pula cedera parah.

PENGHUNI Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis dirawat selepas dibawa keluar dari tempat kejadian tanah runtuh di Kajang, sebentar tadi. - Foto BH Online May 21, 2011 4:29 pm

Sementara itu, seorang penghuni rumah anak yatim berkenaan, Mohd Faizal Isni, 17, berkata, ketika kejadian dia ke tandas dan tiba-tiba kejadian berkenaan berlaku.

"Saya nampak kawan-kawan yang berada bawah khemah sudah tertimbus, cuma nampak tangan dan kepala mereka. Semuanya terkambus.

"Masa yang sama, ketika saya menoleh ke belakang ternampak tanah runtuh seperti mengejar saya," katanya.

Berita Harian
21 Mei 2011



MAHU TAHU...orang ramai mula membanjiri tapak tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat, namun kawasan itu ditutup kepada awam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. - myMetro 21 Mei 2011


KORBAN...seorang penghuni rumah anak yatim yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh dihantar ke hospital. - myMetro 21 Mei 2011


SELAMAT...seorang kanak-kanak berjaya dikeluarkan dari tapak tanah runtuh yang menimbus sebahagian Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Kajang. - myMetro 21 Mei 2011



13 maut, 3 tertimbus

Mangsa dikenali dengan nama Hairi dibawa ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

HULU LANGAT 21 Mei – Seramai 13 penghuni Rumah Anak- anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, di sini, maut akibat tertimbus setelah tebing sebuah bukit berdekatan runtuh dan menghempap khemah yang mereka duduki.

Sehingga pukul 1.30 pagi, operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa masih diteruskan dan terdapat tiga lagi penghuni dipercayai tertimbus.

Seorang mangsa tertimbus, Abang Iwan, 33, berjaya diselamatkan pada pukul 10.20 malam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Azrel, Nael, Eqim, Zaim, Rahimi, Angah, Boboy, Zaid, Abang Farid, Shahrul, Lokman dan Hasril berusia empat tahun hingga 30-an.

Mereka terdiri daripada 12 kanak-kanak dan seorang dewasa.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang mereka bersama yang lain berada di dalam khemah tersebut untuk berlatih nasyid bagi meraikan kedatangan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pukul 5 petang.

Khemah itu dipasang untuk majlis tersebut yang terletak bersebelahan tebing.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilakukan dengan membuat dua terowong turut mengalami kesukaran berikutan hujan lebat petang ini dan menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

Seramai sembilan mangsa termasuk dua dewasa dibawa keluar dengan selamat. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang terselamat pula dikenali sebagai Khairul, Hairis, Harris, Aizat, Alaudin, Shafiz, Akmal dan pekerja rumah berkenaan, Abang Din.

Dua mayat dibawa keluar pukul 4.25 petang diikuti mangsa-mangsa seterusnya kira-kira dua jam hingga tiga jam kemudian dan dibawa ke Hospital Kajang.

Rumah itu menempatkan seramai 49 orang yang terdiri daripada kanak-kanak yatim dan lima penjaga.

Seramai 500 anggota pasukan penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat iaitu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Bangi, Kajang, Selayang, Serdang, Cheras dan Pandan, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Mereka turut dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah jentolak milik swasta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, runtuhan tanah itu merupakan yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah di kawasan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya dan agensi penyelamat lain mengalami kesukaran mencari mangsa yang tertimbus kerana struktur tanah yang lembut serta bergerak.

Menurut Khalid, pasukan penyelamat terpaksa membuat dua terowong untuk mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus.

“Ekoran keadaan hujan, kemungkinan terdapat runtuhan yang akan berlaku di kawasan ini. Saya nasihatkan orang ramai agar tidak datang ke kawasan ini kerana berbahaya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Utusan
22 Mei 2011


Dua beradik antara mangsa terkorban

Mangsa ini berjaya diselamatkan selepas hampir lapan jam tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, di Hulu Langat, semalam.

KAJANG 21 Mei — Dua beradik, Mohd. Zaim Azahari, 14, dan adiknya Mohd. Azed, 8, adalah antara yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini, hari ini.

Mayat Mohd. Zaim dihantar ke Hospital Kajang pada pukul 8.55 malam manakala mayat adiknya dipercayai dihantar ke Hospital Ampang.

Difahamkan bapa kanak-kanak malang itu, Azahari Mat Selek, 36, dan ibu mereka Noreha Ariffin, 37, bekerja sebagai warden dan tukang masak di asrama berkenaan bersama seorang lagi adik-beradik perempuan berumur 10 tahun, terselamat daripada runtuhan yang berlaku pada pukul 2.30 petang.

Datuk saudara kanak-kanak itu yang hanya dikenali sebagai Mohd. Amri, 56, ketika ditemui pemberita di Hospital Kajang berkata, Mohd. Zaim seorang pelajar yang boleh menghafal surah Yassin pada umur 10 tahun dan merupakan seorang budak yang baik.

Dalam tragedi itu, 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa tertimbus akibat tanah runtuh.

Ketika kejadian kesemua mangsa dipercayai berada di khemah yang dipasang untuk mengadakan satu majlis yang dijadual diadakan petang tadi.

Sementara itu, seorang penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang, Harizan Yaacub, 30, yang merupakan bapa saudara tiga kanak-kanak yang belajar di asrama berkenaan masih tertanya-tanya keadaan tiga anak saudaranya itu.

"Anak buah saya ada empat orang belajar di sana...Mohd. Aizad Abdul Karim, 14, Mohd. Aiman Abdul Latif, 12, dan Mohd. Awie Abdul Latif, 13. Seorang lagi anak buah saya, Mohd. Alif Abdul Karim, 16, berada di rumah semasa kejadian berlaku," katanya.

Harizan berkata, maklumat terkini yang diterima buat masa ini mengatakan Mohd. Aizad selamat tetapi patah kaki.

"Yang lagi dua itu, saya tidak tahu macam mana keadaannya," katanya.

Tinjauan Bernama setakat ini mendapati mangsa yang cedera tidak kelihatan di Hospital Kajang dan dipercayai dihantar ke hospital lain, antaranya Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Utusan
22 Mei 2011


Dua mangsa tanah runtuh di ICU

KUALA LUMPUR: Enam daripada sembilan mangsa yang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat semalam kini ditempatkan di wad biasa Hospital Ampang.

Dua lagi ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan dan seorang sedang menjalani pembedahan, menurut seorang pegawai khidmat pelanggan hospital berkenaan hari ini.

Sembilan individu berkenaan adalah mangsa yang terselamat dalam insiden tanah runtuh itu yang mengorbankan 16 nyawa.

"Kita tempatkan mereka dalam sebuah wad bencana yang diwujudkan berikutan tragedi ini yang berlaku semalam, buat ketika ini mereka semua sedang menerima rawatan masing-masing," kata pegawai itu.

Pihak media, bagaimanapun, tidak dibenarkan bertemu dengan mangsa.

"Keutamaan pihak hospital ialah untuk merawat mereka, jadi keadaan mereka perlu dipastikan sentiasa tenang," kata pegawai itu.

Seorang petugas hospital itu sebelum ini dilaporkan berkata operasi menerima mangsa dari kejadian tanah runtuh itu sudah dihentikan kerana semua mangsa yang tertimbus telah ditemui.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 petang semalam di rumah anak-anak yatim itu.

Ketika kejadian, mangsa berada di bawah sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual berlangsung jam 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit berdekatan kawasan rumah dikatakan menimbus keseluruhan khemah di luar rumah anak yatim itu yang terletak di lereng bukit.

Sementara itu, di perkarangan jabatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), di mana mayat mangsa korban tragedi dihantar bagi bedah siasat, pula dipenuhi dengan ahli keluarga, waris dan saudara-mara mangsa.

Ada di kalangan mereka dilihat menitiskan air mata apabila menonton Buletin Pagi TV3 di televisyen di situ yang memaparkan berita tragedi itu dan nama mangsa yang terkorban. - BERNAMA

22 Mei 2011


Mangsa terakhir tanah runtuh dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat.

Operasi yang bermula jam 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada jam 5.05 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Azman Ayob, ketika memberikan perkembangan terkini mengenai insiden itu kepada pemberita di lokasi kejadian pagi ini berkata mangsa yang terkorban 16 orang manakala sembilan mangsa yang terperangkap selamat.

Mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Azman berkata, lokasi mangsa yang berada berdekatan antara satu sama lain membantu memudahkan usaha mencari dan menyelamat.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat membabitkan seramai 754 anggota daripada pelbagai agensi bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), SMART, Tentera 4 Divisyen, dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Operasi mencari dan menyelamat dihentikan setakat ini dan akan disambung pada 8 pagi ini bagi membuat gerakan terakhir untuk pastikan tidak ada lagi mangsa yang terperangkap," katanya. - BERNAMA

22 Mei 2011


Tragedi ketika latihan nasyid

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa keluar salah seorang mangsa yang
terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa, Hulu Langat semalam.

HULU LANGAT - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala tiga lagi dilaporkan masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa blok dewan makan di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini petang semalam.

Sehingga pukul 11 malam tadi, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan sembilan mangsa yang terselamat termasuk seorang warden asrama berusia 22 tahun.

Kesemua yang terselamat dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, seramai 49 penghuni yang kesemuanya lelaki bersama lima penjaga berada di dalam bangunan tersebut dan sedang mengadakan latihan nasyid serta menghias dewan makan untuk majlis sumbangan derma bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dijangka berlangsung pada pukul 5 petang.


Ketika kejadian, seramai 24 penghuni sempat melarikan diri manakala 25 yang lain termasuk lima penjaga dilaporkan hilang.

Kesemua penghuni yang terperangkap berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Runtuhan tanah itu dikatakan menimbus keseluruhan dewan makan yang terletak di bawah bukit tersebut.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seramai lima mangsa pertama dapat dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan mereka dilaporkan selamat.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Mayat pertama semalam dibawa keluar pada pukul 4.30 petang oleh pasukan penyelamat selepas tertimbus di bawah runtuhan batu-bata manakala mayat kedua pula dibawa keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai oleh pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Relawan Ikatan Rakyat (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, sebanyak tujuh ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan dalam operasi tersebut bagi mengesan mangsa yang tertimbus.

Seramai 384 anggota terlibat dalam operasi SAR yang bermula pada pukul 3 petang itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui.

Ketika ditemu bual menerusi saluran Astro Awani, Ismail turut meminta orang ramai menjauhi tempat kejadian bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku di samping untuk memberi laluan kepada pasukan operasi menjalankan tugas dengan lancar.

"Setakat ini, saya difahamkan masih ada pergerakan berlaku pada tanah kerana cuaca yang masih hujan," tegasnya.

Bangunan rumah anak yatim dan madrasah itu dibina sejak tahun 2003.

Kosmo
22 Mei 2011


Mangsa lihat pergerakan tanah

ANGGOTA penyelamat membantu seorang mangsa yang cedera dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di Hulu Langat semalam. - GAMBAR Kosmo

HULU LANGAT 21 Mei - Seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, di sini, hari ini, melihat dengan jelas pergerakan tanah di atas bukit berdekatan.

Wan Ahmad Hezzamullah Wan Ahmad Hazim, 15, berkata, sebaik sahaja melihat situasi bahaya itu, dia segera menjerit meminta semua orang yang berada di dalam khemah dan sedang berlatih nasyid supaya menyelamatkan diri.

Katanya, dianggarkan seramai 30 orang sedang berada di bawah khemah dan dewan makan bersebelahan serta sibuk membuat persiapan menyambut kehadiran rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Sebahagian daripada kami ada yang sibuk menyiapkan pentas dan sebahagian lagi berlatih untuk persembahan nasyid. Pada mulanya (tanah runtuh) kecil sahaja namun menjadi runtuhan besar tidak lama kemudian," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, sejurus kejadian tanah runtuh berlaku hanya empat daripada mereka termasuk dia yang berada di bawah khemah melarikan diri manakala selebihnya terperangkap di bawah runtuhan.

Mangsa kedua yang terselamat, Mohd. Faizal Isni, 17, memberitahu, semasa kejadian dia sedang membantu rakan-rakan menyiapkan pentas dan tiba-tiba terdengar bunyi retakan dan tanah jatuh menimpa khemah.

"Mujurlah saya sempat melarikan diri kalau tidak, tak tahulah apa yang terjadi," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Jihad Jalal, 14, dari Puchong, Selangor, berkata, dia dapat merasa gegaran sebelum tiba-tiba berlaku runtuhan.

"Saya dapat rasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dan cuba lari. Malangnya badan saya tiba-tiba tertimbus oleh tanah dan batu-bata sehingga paras punggung menyebabkan saya terperangkap," katanya.

Mohd. Jihad yang baru tiga bulan menetap di situ berkata, dia bernasib baik kerana diselamatkan penduduk yang datang membantu.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang hanya dikenali sebagai Mohd. Iman, 14, memberitahu, ketika kejadian dia berada di bangunan asrama dan sedang menuju ke dewan makan tersebut.

"Sebaik sahaja nampak kejadian itu, saya menjerit meminta mereka menyelamatkan diri. Ketika itu, saya nampak beberapa rakan sedang mengesat kerusi di dalam khemah tersebut," katanya.

Jelasnya, ketika itu, kebanyakan penghuni berada di dalam dewan makan dan khemah untuk membuat persiapan bagi majlis penyerahan sumbangan kebajikan.

Utusan
22 Mei 2011


TPM umum bantu mangsa

HULU LANGAT 21 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini mengumumkan kerajaan akan memberikan bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh melibatkan anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat.

Selain itu Timbalan Perdana Menteri berkata, kos perubatan bagi mangsa yang cedera akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Begitu juga segala keperluan pengebumian mangsa yang meninggal dunia akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan menunggu laporan penuh siasatan berhubung tragedi itu sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Beliau berkata, kejadian malang itu mungkin berpunca daripada keadaan tanah yang tidak stabil dan hujan lebat.

“Saya telah mengarahkan Datuk Seri Noh Omar (Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk menguruskan segala urusan berkaitan kejadian ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin merakamkan ucapan takziah kepada semua waris mangsa kejadian malang itu.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut merakamkan ucapan yang sama.

“Turut merakamkan ucapan takziah dan simpati, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan.

Gambar-gambar Tragedi Tanah Runtuh di Hulu Langat

Khemah ditimbus tanah akibat runtuhan tebing bukit.


SEBAHAGIAN anak-anak yatim kelihatan sayu menunggu berita rakan-rakan mereka yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, semalam. – MINGGUAN/Shefry Moniz


Orang ramai dan anggota penyelamat memenuhi lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, semalam.




TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat melihat kerja-kerja menyelamat sebaik tiba di tempat kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, malam tadi.


JENAZAH mangsa-mangsa tragedi tanah runtuh ditempatkan di sebuah surau dekat tempat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, semalam.


21 MEI 2011: Anggota bomba dan penyelamat serta orang ramai mengangkat salah satu mayat mangsa tragedi tanah runtuh yang meranapkan Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia, di Kampung Sungai Gahal, Batu 14, Hulu Langat, dekat Kajang. - Utusan/SYEFRI MONIZ

Utusan
22 Mei 2011


Lenyap sekelip mata


HULU LANGAT: Jika semalam mereka ketawa bersama, hari ini mereka bercerai nyawa. Lebih hiba, dengan tulang empat kerat dan kudrat terhad, Mohd Iman, 14, memerah keringat dengan cucuran air mata cuba menggali tanah untuk menyelamatkan kawannya yang tertimbus hidup-hidup.

“Saya sempat menjerit sekuat hati suruh kawan keluar dari dewan. Namun dengan sekelip mata mereka sudah tiada,” kata Mohd Iman, penghuni Rumah Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang, dia berada di asrama anak yatim berkenaan sebelum dipanggil turun oleh rakannya yang lain untuk latihan nasyid.

SELAMAT... mangsa tanah runtuh Rumah Yatim batu 14 Ulu Langat, Mohd Khairul Annuar, 9 dihantar ke Hospital Ampang, Ampang.

Difahamkan, mereka mengadakan latihan kompang ketika kejadian bagi menyambut kehadiran pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi menyampaikan sumbangan.

Bagaimanapun, ketika latihan dan persiapan, berlaku tanah runtuh menyebabkan mereka gagal menyelamatkan diri.

“Saya baru turun untuk ke khemah tetapi ternampak runtuhan pasir. Saya terkejut dan menjerit supaya mereka keluar dari dewan.

“Ada yang sempat lari, tetapi ramai yang tertimbus sekelip mata. Saya cuba menggali tanah untuk menyelamatkan kawan kerana tidak sanggup lihat mereka tertimbus hidup-hidup, tetapi hampa kerana kudrat saya terhad,” katanya sebak dengan linangan air mata.

Bagi Mohd Jihat, 14, ketika kejadian, dia berada di bawah khemah dan turus tertimbus sehingga paras pinggang.

“Saya diselamatkan orang kampung yang kebetulan datang menyelamatkan saya dengan menggali tanah. Ketika itu, saya mengelap kerusi untuk persediaan menyambut tetamu di bawah khemah,” katanya.

Mohd Jihat dari Puchong dan baru tiga bulan menghuni di sini masih kelihatan trauma dan turut bersedih dengan kejadian menimpa rakan yang lain.

Dia mendakwa begitu hiba melihat usaha menyelamat dan sempat melihat antara rakannya dihempap batu dan celahan batu dan tanah.

BERKUMPUL... sebahagian penghuni asrama yang terselamat.

Difahamkan, seramai 28 anak yatim berada di dalam dewan dan khemah ketika kejadian. Anak yatim yang tinggal di rumah anak yatim berkenaan berusia tujuh hingga 17 tahun.

Seorang lagi pelajar, Wan Ahmad Huzamuddin Izrullah, 15, berkata pada awalnya dia melihat pergerakan tanah sedikit tanpa mencurigai apa-apa, namun tiba-tiba desiran pasir yang dahsyat, sekali gus diikuti dengan runtuhan tanah menuju ke arah rumah anak-anak yatim berkenaan.

“Saya sempat lari bersama seorang rakan, tetapi adik saya tertinggal di belakang. Bagaimanapun, adik saya bernasib baik kerana longgokan tanah yang dihadang pintu itu menyelamatkan dia daripada tertimbus,” katanya.

myMetro
22 Mei 2011


Tiga faktor kejadian

BAHAYA... kelihatan pergerakan tanah ketika hujan di Hulu Langat, semalam.

KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, semalam, berkemungkinan berpunca daripada faktor alam semula jadi, iaitu aliran puing (debris flow).

Pengarah Institusi Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata ini kerana kawasan berkenaan masih belum diteroka dan aliran puing hanya berlaku secara di kawasan sedemikian setiap 20 hingga 30 tahun sekali bergantung kepada cuaca semasa.

Katanya, kejadian berkenaan berkemungkinan mempunyai persamaan dengan tragedi banjir lumpur yang berlaku di Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996 dan di Jalan Susur Genting Highlands pada 1995.

“Debris flow ini berpunca daripada tiga faktor alam sekitar iaitu keadaan cuaca, keadaan muka bumi dan geologi, di mana ia turut berkaitan dengan sumber air atas bukit.

“Tekanan air atas bukit yang kuat ini turut membawa sekali batu, pokok serta tanah dan mengakibatkan pergerakan tanah punca berlakunya tanah runtuh,” katanya.

Menurut Ibrahim, kejadian ini adalah normal berlaku di kawasan berbukit tetapi tidak diberi perhatian serius kerana jarang membabitkan kawasan didiami penduduk.

“Di negara kita sendiri perkara ini selalu terjadi tetapi biasanya tidak diketahui kerana berlaku di tengah hutan seperti Banjaran Titiwangsa.

“Disebabkan ia jarang diberi perhatian, masalah ini tidak diambil berat oleh pihak berkaitan, termasuk orang ramai yang masih berani mendirikan rumah di lereng bukit,” katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, kejadian berkenaan berbeza dengan kes tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada 6 Disember 2008.

“Kejadian di Bukit Antarabangsa berpunca daripada kecuaian manusia yang rakus melakukan pembangunan tidak terkawal di kawasan bukit.

“Bagaimanapun, dalam kedua-dua situasi ini, kawasan berkenaan tetap mempunyai risiko untuk berlakunya tanah runtuh kerana terletak di kawasan bukit,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, pihak berkaitan, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), memantau keselamatan kawasan berbukit yang didiami penduduk.

Katanya, ini kerana kejadian tanah runtuh hingga membabitkan kehilangan nyawa sering berlaku tetapi tindakan yang diambil selepas itu hanya sementara, lantas diabaikan.

“Kita lihat ini sebagai kelemahan kerana pemantauan dan pelbagai cadangan hanya dibuat bila kejadian berlaku, tetapi bila reda isu itu ia dilupakan,” katanya.

myMetro
22 Mei 2011


Semua mangsa yang terkorban berjaya dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, ditemui awal pagi ini.

Mayat tiga daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi, manakala mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi.

Dengan penemuan empat mayat itu, kesemua mereka yang dilapor tertimbus dalam kejadian itu telah ditemui, kata polis.

Kejadian pada pukul 2.30 petang semalam itu mengakibatkan 25 orang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus. 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal.

Polis berkata operasi mencari dan menyelamat kini dihentikan dan akan disambung pukul 8 pagi ini.

myMetro
22 Mei 2011


Tanah runtuh: Abang terkilan tak dapat selamatkan adik

SEKUMPULAN murid tahfiz melihat jenazah tujuh mangsa tanah runtuh untuk disembahyangkan di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Pekan Batu 14, Hulu Langat, tengah hari tadi. Mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Sungai Gahal itu dikebumikan dalam satu liang lahad selepas solat Zohor tadi. - Foto BERNAMA May 22, 2011 4:11 pm

DENGKIL: Mohd Awie Abdul Latiff, 12, mungkin terselamat dalam kejadian tanah runtuh di rumah anak yatim di Batu 14 Hulu Langat semalam, tetapi dia masih terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan adik bongsunya.

Adiknya, Mohd Riezman, 9, terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa yang turut mengorbankan 15 yang lain dan mengakibatkan sembilan lagi cedera.
"Saya terus berlari bagi menyelamatkan diri apabila mendengar jeritan rakan-rakan senior, tetapi dalam keadaan cemas itu adik saya masih tidak bergerak menunggu dua lagi rakannya.

"Mereka terperangkap dalam runtuhan tanah itu," kata anak kelima dari enam beradik itu ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Jenderam Hilir di sini.

Lebih menyedihkan, Mohd Awie bukan sahaja kehilangan adik tetapi seorang sepupunya, Mohd Kamarul Amiezan Johari, 11, atau lebih dikenali sebagai Boboy turut tertimbus dalam runtuhan tanah itu.

"Saya cuba mengorek tanah untuk mencari adik dan sepupu yang tertimbus dalam runtuhan itu tetapi dihalang oleh anggota polis yang menyuruh saya menjauhi tempat kejadian," katanya.

Menceritakan mengenai adiknya, Mohd Awie berkata dia bersyukur kerana dapat memenuhi permintaan arwah yang mahukan jam tangan dan minyak wangi sebagai hadiah hari lahirnya Januari lalu.

"Bapa kami sudah meninggal dunia...saya berbelanja RM56 untuk membelikan dia jam tangan Ben 10 dan minyak wangi yang dibeli melalui seorang rakan senior, adik sangat gembira dan sentiasa memakai jam tangan itu," katanya.

Sementara itu, ibu Boboy, Norjuhana Alang, 32, berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu melalui siaran televisyen.

"Hati saya luluh bila melihat jenazah Boboy di Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur tetapi saya redha dengan ketentuan Ilahi. Kali terakhir saya bertemu Boboy pada Hari Raya Aidil Fitri lalu.

"Baru-baru ini dia ada menelefon bertanya bila saya dan suami nak datang tengok dia," katanya sambil memberitahu anaknya yang sejak kecil bercita-cita menjadi ustaz memasuki asrama itu pada 2009 dan sejak itu beliau jarang berjumpa dengan anaknya.

Jenazah kedua-dua sepupu itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jenderam Hilir selepas solat Zohor. - BERNAMA

22 Mei 2011


Landslide at orphanage



Family members and villagers gather at a funeral prayer at a mosque in Hulu Langat on Sunday for victims of two landslides that hit the Madrasah Al-Taqwa Orphanage in Hulu Langat. - 22 May, 2011


Search and rescue team carry the remains of the last victim of the two landslides that hit the Madrasah Al-Taqwa Orphanage. - DARRAN TAN / The Star - 22 May, 2011


Relatives wait anxiously for news of their loved ones at the Kajang Hospital. - 22 May, 2011


A boy who was pulled out alive eight hours after the landslide being brought to the Ampang hospital. - 22 May, 2011


The search for victims of the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat continues despite the darkness and rain - 21 May, 2011


Rescuers bringing out one of the dead children after the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


Anxious family members waiting for news of their injured relatives at Ampang Hospital after the landslide at Hulu Langat - 21 May, 2011


One of the injured, identified as Hairi, 9, who was injured in the leg, being wheeled into the hospital after the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


Police cordoning off the area during the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


Scores of people gathering at the scene to know more about the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


One of the injured being wheeled into Ampang Hospital for treatment after the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


One of the injured being wheeled into Ampang Hospital after the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


A car is filled with earth after the landslide Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


Two of the dead children being prepared for burial after the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


Rescuers looking for survivors at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


One of the injured being rushed to the hospital after being pulled out of the landslide at Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat - 21 May, 2011


The back portion of the Rumah Anak Yatim Hidayah in Hulu Langat where the landslide occured - 21 May, 2011


The Star
22 May 2011


Empat mangsa terakhir ditemui awal pagi

HULU LANGAT 22 Mei - Empat mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14 di sini yang tertimbus berjaya ditemui kira-kira pukul 5 pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Mangsa terakhir ialah Kamarul Hamizan atau 'Boboy', 11, ditemui pasukan itu pada pukul 5.05 pagi.

Tiga lagi mangsa yang dikenali sebagai Rizman, 9, Fahad dan Hazeem, 10 tahun ditemui kira-kira pukul 4.30 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob berkata, berikutan penemuan kesemua mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat yang bermula sejak pukul 2.45 petang semalam dihentikan sementara mulai pukul 5.30 pagi.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya menyambung semula gerakan membersihkan kawasan itu pada pukul 8 pagi ini.

"Semua kerja pembersihan dimulakan semula pada pukul 8 pagi bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertimbus dalam runtuhan itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi ini.

Tambah Azman, kesemua mangsa yang meninggal dunia berusia antara 7 hingga 34 tahun dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Katanya lagi, sebanyak 12 mayat mangsa yang dibawa ke HKL sebelum ini telah disahkan identiti oleh waris masing-masing.

"Kita masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital untuk mengetahui punca kematian dan kecederaan yang dialami mangsa.

Utusan
23 Mei 2011


Tujuh jenazah satu liang lahad

HULU LANGAT 22 Mei - Tujuh daripada 16 mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding di sini hari ini.

Kesemua jenazah tujuh mangsa itu dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 2.30 petang.

Mereka ialah Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18; Mohd. Azret Azahari, 8; Wan Ahmad Hasril Hazim, 11; Muhammad Naerzeim Mohd. Noor, 8; Mohd. Zaid Azahari, 14; Mohd. Iman Fahad, 9, dan Muhammad Hazim Sapree, 10.

Dua lagi mangsa dikebumikan di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil selepas solat Zuhur hari ini iaitu Muhammad Kamarul Amizan Johari, 11, dan Muhammad Riezman Abdul Latif, 9.

Tujuh lagi mayat mangsa lain sudah dituntut ahli keluarga masing-masing. Tiga daripadanya dikebumikan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur serta masing-masing satu di Batu Caves, Perak, Pahang dan Kelantan.

Di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Hulu Langat, lebih 500 penduduk menyertai solat jenazah mangsa kejadian tanah runtuh itu sebelum semua mereka dikebumikan dalam satu liang lahad.

Lima daripada jenazah tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 10.45 pagi, diikuti dua jenazah pada pukul 12.41 tengah hari.

Sebaik sahaja semua waris selesai melakukan pengecaman wajah mangsa, jenazah kemudian disembahyangkan kira-kira pukul 1.35 petang.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan berikutan tragedi itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan kepada 16 mangsa yang terbunuh berkumpul di pekarangan bilik mayat hospital berkenaan seawal pukul 7 pagi.

Selesai sahaja proses bedah siasat dijalankan, jenazah mangsa mula dituntut oleh keluarga masing-masing secara bergilir-gilir mulai pukul 7 pagi ini dan selesai pukul 12 tengah hari.

Seramai 37 kakitangan HKL termasuk pegawai agama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak tidur sejak pukul 9.30 malam tadi kerana bertungkus-lumus menguruskan kesemua 16 mayat mangsa tragedi itu.

Zaiton Abdullah, 30-an, ibu saudara salah seorang mangsa, Dzahir Haziq ketika ditemui tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilannya tidak dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir.

Zaiton berkata, dia yang menetap di Terengganu terus bergegas ke ibu kota setelah menerima panggilan pada malam kejadian mengenai tragedi menimpa Dzahir Haziq.

"Saya terkilan kerana tidak dapat menatap wajah Dzahir Haziq buat kali terakhir kerana baru sampai ke sini," kata Zaiton yang memberitahu dia menganggap arwah seperti anak kandungnya.

Roslan Osman, 69, yang bertugas secara sukarela di rumah anak yatim itu berkata, rumah tersebut mempunyai 42 orang penghuni yang terdiri daripada empat golongan iaitu anak yatim, yatim piatu, anak-anak fasuki dan anak-anak hidayah.

Sumber dari Utusan dan Kosmo
23 Mei 2011


‘Arwah anak bijak, baik’

PILU...Norlaili menenangkan anaknya Mohd Alif, yang sebak kerana kawan rapatnya, Hazim, meninggal dalam kejadian tanah runtuh, semalam.

KUALA LUMPUR: “Arwah seorang anak yang baik dan tidak susah untuk menjaganya sejak kecil, malah sebelum kejadian, dia sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanya mengenai persiapan untuk pendaftaran masuk ke Matrikulasi Perak di Gopeng,” kata ibu Dzarhir Haziq M Muin, 18, Zaliah Abdullah, 45, mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, semalam.

Zaliah berkata, anak sulungnya daripada empat beradik yang mendapat 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini sepatutnya mendaftar masuk ke matrikulasi esok (hari ini) dan segala persiapan sudah siap.

Menurutnya, arwah sanggup menolak tawaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memilih matrikulasi bagi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah Jumaat lalu selepas menghantarnya ke madrasah berkenaan dan ketika itu, tiada perubahan pelik ditunjukkan malah berkelakuan seperti biasa.

“Arwah sering ke madrasah itu pada setiap minggu untuk belajar agama dan mengikuti aktiviti dijalankan penghuni terbabit,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat, Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Bapa saudara mangsa, Zubir Abdullah, 43, pula berkata, dia mendapat berita kejadian menimpa arwah malam tadi (kelmarin) dan terkejut dengan kejadian menimpa anak saudaranya.

“Sepanjang saya mengenali arwah, dia seorang yang pendiam dan tidak banyak bergaul, malah sepatutnya mendaftar masuk ke Matrikulasi Gopeng esok (hari ini) namun hajatnya tidak kesampaian.

“Arwah juga sudah setahun belajar agama di madrasah berkenaan. Ibu bapanya yang tinggal di Shah Alam, Selangor akan menghantar arwah pada setiap minggu dan mengambilnya semula pada Ahad,” katanya.

SEBAK...Zaliah dan suaminya, M Muin sebak apabila anak mereka, Haziq terkorban dalam kejadian tanah runtuh, semalam.

Sementara itu, suasana di pekarangan HKL bertambah pilu apabila, Mohd Alif Haikal Jasmin, 10, gagal menahan sebak selepas mengetahui rakannya, Mohd Hazim Sapri, 10, sudah tiada sebelum ditenangkan ibunya, Norlaili Zainal Abidin, 28.

Mohd Alif berkata, dia dan Hazim sangat rapat dan jika ke mana-mana pun mereka akan pergi bersama-sama, malah ketika rehat di sekolah, mereka akan makan berdua.

“Saya hanya mengetahui kejadian menimpa Hazim awal pagi ini (semalam) dan terus ke hospital bersama ibu untuk melihat arwah.

“Saya berkawan dengannya sejak setahun lalu ketika belajar di dalam kelas yang sama di Sekolah Kebangsaan Taman Muda, Ampang dan arwah seorang yang baik,” katanya yang gagal mengawal kesedihan sehingga terpaksa ditenangkan ibunya.

Bagaimanapun, ibu dan kakak mangsa ketika ditemui enggan ditemubual kerana masih bersedih.

Kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 14, Hulu Langat bersama lima lagi rakan mereka dalam satu liang lahad, semalam.

myMetro
23 Mei 2011


Mangsa tertimbus sedalam 3 hingga 4 meter - Bomba

HULU LANGAT 22 Mei - Sukar untuk dibayangkan, namun hakikatnya runtuhan tanah yang menimbus 16 mangsa di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di sini semalam mempunyai kedalaman antara tiga hingga empat meter.

Tragedi itu diburukkan lagi dengan hujan lebat yang turun bermula pukul 5 petang sehingga 8 malam sehingga menyukarkan usaha mencari mangsa berikutan berlaku pergerakan tanah.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Puzi Mohd. Tabot berkata, hasil kerjasama pelbagai pihak, operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan selama 14 jam mulai pukul 3 petang dan ditamatkan pukul 5.40 pagi setelah mayat terakhir ditemui.

"Keadaan paling kritikal adalah sewaktu hujan lebat di awal operasi. Setelah operasi menyelamat ditamatkan, kami cuma menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk operasi pembersihan dan membantu mangsa yang mengalami trauma.

"Ketika ini tiada pergerakan tanah dikesan namun kami akan meletakkan sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota di lokasi bagi memantau keadaan terutamanya sewaktu hujan sehingga esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang semalam, seramai 16 mangsa yang majoritinya terdiri daripada penghuni serta warden rumah anak yatim tersebut maut akibat tertimbus tanah runtuh.

Ditanya mengenai keadaan mangsa ketika ditemui, Mohd. Puzi berkata, kebanyakan mayat berada dalam keadaan sempurna.

"Kebanyakan mangsa ditemui berdekatan dan ada antaranya tertindih di antara satu sama lain. Sembilan mayat ditemui menggunakan anjing pengesan.

"Bagi yang terselamat, langkah awal diambil termasuk memberi oksigen selain menenangkan mereka agar dapat bertahan lebih lama kerana ada antaranya mengambil masa sehingga empat jam untuk diselamatkan," jelas beliau.

Utusan
23 Mei 2011


Tanah runtuh Hulu Langat: Mangsa beri ibu tudung kali terakhir bertemu

AWIE gagal selamatkan adiknya bersedih ketika menunggu di Rumah Mayat HKL.

KUALA LUMPUR: “Saya sempat tarik tangan adik selepas runtuhan pertama, namun kakinya tersangkut pada batang besi khemah, saya cuba tarik lagi tangannya tetapi ketika itu saya nampak ada runtuhan batu menuju ke arah kami.

“Masa itu saya terdengar jeritan meminta saya lari menyelamatkan diri. Sambil berlari, saya menoleh ke arah adik saya dan lihat batu besar menghempap kepalanya.

“Ketika berlari keluar dari dewan saya meraung kerana teringat apa yang terjadi kepada adik,” kata Mohd Awie Abdul Latif, 11, yang terselamat dalam tragedi tetapi kehilangan adiknya.

Awie yang masih trauma tidak dapat melupakan kejadian yang sekelip mata mengorbankan adiknya, Mohd Riezman Abdul Latif, 9, dan 15 yang lain berkata dia sangat sayangkan adik bongsunya dan sentiasa ke mana-mana bersama, namun semuanya tinggal kenangan.

Ibunya, Intan Anisah Alang, 40, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di Kajang, berkata dimaklumkan kejadian itu oleh anak saudaranya sekitar jam 5 petang.

“Saya tergamam dan seluruh tubuh rasa kaku... tidak bermaya, namun saya kuatkan hati untuk bergegas ke tempat kejadian kerana ingin tahu nasib kedua-dua anak.

“Bila tiba di sana saya dimaklumkan Awie terselamat, namun Riezman terperangkap dalam runtuhan dan berdoa dia selamat, tetapi harapan saya hampir hilang apabila Awie menceritakan apa yang berlaku kepada Riezman,” katanya yang ditemui di Bilik Mayat, Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Intan yang kali terakhir bertemu Riezman pada Aidilfitri tahun lalu, berkata mayat Riezman dibawa keluar dari runtuhan jam 4.35 pagi semalam.

Paling menyedihkan Intan, anak kesayangannya itu juga sempat membelikannya tudung pada pertemuan kali terakhir mereka sebelum dia kembali menyambung pengajian Tahfiz di Madrasah Al-Taqwa.

Selain adiknya, seorang lagi yang terkorban adalah sepupu Awie dan Riezman, Mohd Kamarul Amizan Johari, 11, yang turut tinggal di madrasah itu sejak tiga tahun lalu.

Kamarul, anak ketiga daripada lima beradik adalah mangsa terakhir yang dikeluarkan dari lokasi kejadian jam 5.05 pagi semalam.

Bapa Kamarul, Johari Awang, 40, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata beliau hampir pengsan apabila dimaklumkan kejadian itu.

Berita Harian
23 Mei 2011



‘Saya tarik tangan adik’


KUALA LUMPUR: “Saya tarik tangan adik ketika kami lari menyelamatkan diri, tapi kaki adik tersangkut pada besi khemah dan dia jatuh. Saya tarik lagi tangannya tapi runtuhan batu mula menuju ke arah kami dan menimpa kepala adik.

“Saya mahu mengorek tanah mencari adik, namun orang ramai menghalang. Saya terus menangis kerana hanya mampu melihat adik tertimbus di depan mata.”

Demikian luahan Mohd Awie Abdul Latif, 11, menceritakan detik kematian adiknya, Mohd Riezman, 9, dalam tragedi tanah runtuh yang meragut 16 nyawa dan mencederakan sembilan penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat dekat sini, kelmarin.

SEBAK...Awie yang sebak ditenangkan bapa saudaranya di Rumah Mayat Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Mohd Awie yang ditemui di luar Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam berkata, sebelum kejadian pada jam 2.30 petang itu dia, Mohd Riezman dan kebanyakan penghuni lain berada di dalam khemah untuk melakukan persiapan bagi majlis serahan bantuan oleh seorang pegawai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Ketika itu, Riezman berada dekat dengan saya. Kemudian, ada orang menjerit supaya menyelamatkan diri kerana ada tanah runtuh lalu kami semua segera lari. Saya sungguh terkilan kerana tak sempat menyelamatkan adik,” katanya.

myMetro
23 Mei 2011


TPM hiba

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat mangsa yang masih tertimbus di dalam runtuhan di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, kelmarin. - Foto Sairien Nafis

Tengok sendiri mangsa tersepit

KUALA LUMPUR: “Saya pergi ke tempat kejadian, menyaksikan pasukan penyelamat bekerja dengan keras. Saya nampak empat kaki... ia adalah mayat dua budak lelaki yang terperangkap serta tertimbus dihempap tanah dan dinding konkrit besar. Ia adalah tragedi yang amat menyedihkan”.

Demikian luahan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menceritakan tinjauannya ke tempat kejadian tanah runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat dekat sini, malam kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tiba di tempat kejadian jam 11 malam selepas mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, menyaksikan Citrawarna 1Malaysia di Dataran Merdeka di sini.

Walaupun persembahan peserta pada program anjuran Kementerian Pelancongan itu adalah hebat, katanya, beliau terpaksa meninggalkan majlis lebih awal untuk ke tempat kejadian berkenaan.

“Hati saya sudah pun berada di tempat kejadian tragik di Hulu Langat itu,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Yayasan Tan Sri Muhyiddin (TSM) Charity Golf di sini, semalam.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga pengerusi yayasan berkenaan menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Ab Aziz.

Selain itu, yayasan berkenaan turut menyumbangkan RM100,000 lagi kepada penerima lain dari golongan miskin dan berkeperluan, termasuk ibu tunggal, seniman, bekas atlit serta dua kanak-kanak yang perlu menjalani pembedahan pakar, Nur Amira Batrisya Abdullah, tiga, dan Muhammad Hafis Ishak, empat.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut memotong pulut kuning kerana diraikan sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-64 pada 15 Mei lalu. Terdahulu, Muhyiddin turut menjayakan pertandingan golf Patron’s Cup 2011 anjuran Yayasan TSM Charity Golf.

Muhyiddin berkata, kerajaan sedang menangani keadaan dan akan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa kejadian tanah runtuh itu sebagai sokongan kepada mereka dalam menghadapi tragedi berkenaan.

Ketika melawat tempat kejadian malam kelmarin, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberi bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban.

Selain itu, katanya, kerajaan juga menanggung sepenuhnya kos perubatan mangsa yang cedera dan segala keperluan pengebumian mangsa yang meninggal dunia.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada semua waris mangsa, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut merakamkan ucapan takziah serta simpati.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pembabitan peserta dalam program kebajikan anjuran Yayasan TSM Charity Golf membantu golongan miskin dan berkeperluan, malah yayasan berkenaan sedang berusaha menubuhkan pusat dialisis untuk tujuan amal.

Berita Harian
23 Mei 2011


Tanah runtuh Hulu Langat: Sepi selepas 30 minit

MOHD HARRIS menunjukkan tempat dia tertimbus ketika tanah runtuh di rumah anak yatim.

Mangsa tertimbus takbir sambil minta diselamatkan

AMPANG: “Tolong aku. Allahuakbar! Selamatkan kaki saya, Allah bersama kita – adalah antara laungan yang kedengaran daripada mangsa tertimbus sebelum suasana menjadi sepi kira-kira 30 minit kemudian.

Keadaan di madrasah yang pada mulanya ceria dengan nyanyian nasyid disusuli paluan kompang bertukar dengan jeritan dan laungan sebaik gegaran dirasakan sebelum tanah runtuh.

Mangsa, Mohd Harris Izzudin, 11, yang cedera di kaki kanan dan tangan kiri akibat tersepit berkata, semuanya berlaku terlalu cepat.

“Ketika kejadian, saya di dalam dewan sebelum mendengar jeritan kawan bahawa berlaku tanah runtuh.

“Ketika berusaha menyelamatkan diri, kaki dan tangan saya dihempap batu dan tersepit sebelum dikeluarkan 30 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang di sini, semalam.

Mohd Harris yang masih trauma akibat kejadian itu berkata, beliau sedih melihat keadaan rakan yang terperangkap dan menjerit kesakitan serta meminta pertolongan.

“Saya lihat dan dengar dengan jelas, ada yang melaungkan azan, menyebut Allahuakbar dan menjerit meminta diselamatkan.

“Ada yang sebahagian badan sudah tertimbus melambai tangan meminta tolong, namun keadaan menjadi senyap selepas 30 minit kemudian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Alauddin Safri, 14, yang tersepit tangan ketika mencari adiknya, Mohd Azim, 10, yang hilang berkata beliau diselamatkan 30 minit kemudian.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 8 pagi tadi (semalam), saya dimaklumkan adik meninggal dunia selepas dikeluarkan daripada runtuhan itu jam 5 pagi (semalam),” katanya sambil menitiskan air mata.

Mohd Alauddin berkata, ketika kejadian beliau dan adiknya di dalam dewan menyaksikan latihan nasyid apabila berlaku gegaran diikuti runtuhan tanah.

Katanya, mereka ke madrasah itu setiap hujung minggu sejak empat tahun lalu untuk belajar agama dan al-Quran.

Sementara itu, di IPOH, ibu Zahid Assawal Zamri, 19, yang turut terbunuh dalam tragedi itu, Wan Zarina Mohd Zainuddin, 46, berkata, arwah menyampaikan satu pesanan tetapi beliau tak boleh beritahu kepada media kerana ia terlalu peribadi buat kami sekeluarga.

Wan Zarina berkata, pesanan itu dinyatakan ketika anak sulungnya menghubunginya tiga bulan lalu.

“Terpulang kepada suami (Zamri Mohd Kassim, 48) untuk menunaikan pesanan itu,” katanya sebaik selepas pengebumian jenazah anak tunggal lelakinya itu di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Putih di Ipoh, semalam.

Berita Harian
23 Mei 2011


Tanah runtuh Hulu Langat: Wanita berlari sambil menangis lega keluarga terselamat

AMPANG: “Hanya syukur yang mampu terungkap apabila lima ahli keluarga saya selamat daripada kejadian itu,” kata Asmah Yassin, 48, mengesahkan tiga anaknya termasuk pasangan kembar, menantu dan cucunya terselamat dalam tragedi tanah runtuh itu, petang kelmarin.

Tiga anaknya, Mohd Shafiq Ibrahim, 22; Siti Fatimah, 22; Saiful Nizam, 31 dan menantu, Khairi Abdullah, 40, ialah sukarelawan di madrasah itu, manakala cucunya, Najihah, lapan bulan dibawa ibunya Siti Fatimah ke situ kerana hujung minggu.

“Apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa madrasah itu, saya yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian berlari untuk melihat keadaan mereka sambil menangis kerana tidak tahu keadaan anak menantu serta cucu.

“Tiba di madrasah, saya melihat empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri dan hanya cedera ringan, saya menangis kerana bersyukur. Selepas itu, saya diberitahu Mohd Shafiq masih tertimbus.

“Bagaimanapun, selepas 30 minit usaha menyelamat, Mohd Shafiq berjaya dikeluarkan. Dia mengalami kecederaan teruk di leher akibat tersepit,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang, semalam.

Mohd Shafiq berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan beliau hanya mendengar jeritan pelajar lain supaya menyelamatkan diri.

“Saya berlari menyelamatkan diri bagaimanapun dihempap batu dan tersepit. Saya dikeluarkan 30 minit kemudian oleh anggota bomba yang dibantu penduduk,” katanya.

Menjelaskan sistem pembelajaran di madrasah itu, Siti Fatimah berkata, ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu anak yatim dan anak orang miskin, manakala semua tenaga pengajarnya sukarelawan dengan sebahagian besar ialah bekas pelajar madrasah itu.

Berita Harian
23 Mei 2011


Tanah runtuh Hulu Langat: MAIWP tawar jadi anak angkat

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersedia mengambil penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat di sini, yang terselamat dari tragedi tanah runtuh, Sabtu lalu sebagai anak angkat.

Pengerusinya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata mereka akan diberikan tempat tinggal di Kompleks Darul Kifayah Kuala Lumpur dan disediakan dengan segala kemudahan harian termasuk keperluan pendidikan yang ditanggung sepenuhnya oleh MAIWP.

“MAIWP berasa amat sedih dan dukacita atas kejadian yang menimpa mereka dan berdoa supaya mangsa yang terkorban dicucuri rahmat Allah.

“MAIWP turut berasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk turut sama membela nasib mereka yang terselamat,” katanya melalui kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kompleks Darul Kifayah di Taman Koperasi Polis 2 di sini, menempatkan seramai 340 pelajar terdiri daripada anak asnaf fakir, miskin dan muallaf termasuk anak yatim dari seluruh negara.

Berita Harian
23 Mei 2011


Potong kaki dua mangsa

TERLANTAR...kaki kanan Mohd Erwan terpaksa dipotong dan masih diberi rawatan di wad ICU, Hospital Ampang.

AMPANG: Kaki seorang mangsa tragedi tanah runtuh yang tersepit dan tertimbus dari paras pinggang terpaksa dipotong di tempat kejadian bagi menyelamatkan nyawanya yang ketika itu sudah lemah akibat terlalu lama menanggung kesakitan.

Mangsa, Zulkhairi Aminuddin, 13, terpaksa mengharungi keadaan mengerikan itu selepas kaki kirinya didapati hancur dan mula bertukar menjadi kebiruan.

Menurut sumber hospital, pasukan perubatan yang ditugaskan terpaksa membuat keputusan sukar itu bagi menyelamatkan nyawa mangsa yang semakin lemah akibat kehilangan banyak darah.

“Sebaik menemui mangsa di lokasi runtuhan, kami diarah melihat keadaan mangsa terlebih dulu dan mendapati lebih 90 peratus kakinya dalam keadaan parah.

“Kami terpaksa memotong kaki mangsa sehingga paras lutut di kawasan kejadian dan memberi rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang (HA) bagi rawatan lanjut,” katanya.

Mangsa kini masih berada dalam keadaan lemah dan masih dirawat di ICU HA.

SELAMAT...anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd Erwan Zakaria, 33, juga kehilangan kaki kanan selepas mengalami kecederaan dan pendarahan dalaman yang dikhuatiri mengancam nyawanya.

Sumber itu berkata, selepas dikeluarkan dari runtuhan tanah, Mohd Erwan dikejarkan ke HA dan menjalani pembedahan selama kira-kira empat jam oleh sekumpulan doktor pakar tulang sebelum ditempatkan di ICU bagi rawatan lanjut.

“Kaki Mohd Erwan tidak hancur tetapi mengalami pendarahan dan kecederaan dalaman yang serius akibat tersepit terlalu lama dan tidak dapat diselamatkan. “Sekiranya kakinya dibiarkan dan hanya diberikan rawatan, kami bimbang ia akan dijangkiti kuman sehingga menjadi busuk seterusnya mengancam nyawa,” katanya.

Katanya, seorang lagi mangsa, Mohd Aizat Khusyairi Abdul Karim, 12, juga dirawat di ICU HA kerana kecederaan di kepala.

Menurutnya, setakat ini, keadaan ketiga-tiga mangsa stabil dan masih dipantau secara berterusan oleh pegawai perubatan dan jururawat.

“Hanya keluarga terdekat dibenarkan melawat mangsa kerana pihak hospital tidak mahu emosi mereka terganggu dan boleh memudaratkan kesihatan kerana mereka masih trauma,” katanya.

Sumber itu berkata, pihak hospital sudah melakukan rawatan terbaik bagi memastikan mangsa yang terselamat mendapat rawatan sempurna dan kembali pulih sama ada fizikal atau mental.

myMetro
23 Mei 2011


Rumah tak didaftar

PEKAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengesahkan Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, Selangor, yang ditimpa musibah tanah runtuh sehingga mengorbankan 16 nyawa bukan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malah tidak berdaftar dengan jabatan itu sebagai rumah anak yatim.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya juga belum dapat mengesahkan status sebagai rumah anak yatim kerana bukan semua penghuni anak yatim, malah siasatan awal mendapati kediaman itu juga beroperasi sebagai kem motivasi dan maahad tahfiz.

“Saya difahamkan ada kanak-kanak terbabit mempunyai keluarga di luar Kuala Lumpur. “Sehubungan itu, kami tidak tahu status sebenar sehingga siasatan mengenainya selesai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Pekan, di sini, semalam.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia berkata, bagaimanapun pihaknya berusaha membantu 27 mangsa yang terselamat dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dikendalikan JKM.

“Jabatan akan menjalankan siasatan terperinci untuk mengesahkan status kanak-kanak yang terselamat.

“Apapun hasilnya, kami akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau JKM.

Katanya, pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) atau pusat kebajikan perlu mendapatkan kelulusan Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta JKM sebelum diberi lesen untuk beroperasi.

myMetro
23 Mei 2011


Tiada kaitan Finas

KUALA LUMPUR: “Ia sumbangan peribadi saya dan keluarga, tidak ada kaitan dengan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional),” kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Finas, Fatimah Ahmad.

Akhbar semalam melaporkan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 nyawa penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, kelmarin berlaku ketika mangsa dan penghuni lain menjalani latihan nasyid serta bermain kompang untuk majlis menerima sumbangan Finas dijadualkan pada jam 3 petang hari yang sama.

“Saya terkejut membaca laporan akhbar dan berharap kekeliruan ini diperbetulkan. Mungkin disebabkan jawatan saya, ramai beranggapan ia program Finas. Saya juga sudah maklumkan kepada Ketua Pengarah, Mohd Mahyidin Mustakim untuk mengelakkan kekeliruan,” kata Fatimah.

Beliau yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, dia dan keluarga sepatutnya tiba di rumah anak yatim itu pada jam 3 petang kelmarin sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tragis itu.

“Sebaik bersiap untuk ke rumah berkenaan, saya dimaklumkan oleh penyelia rumah terbabit menerusi panggilan telefon bahawa berlaku tanah runtuh dengan mangsa masih lagi tertimbus di dalamnya.

“Seperti tidak percaya, saya terus bergegas ke sana dan mendapati keadaan begitu kelam-kabut dengan petugas dan anggota penyelamat memenuhi kawasan berkenaan. Ketika itu, saya tidak mampu untuk berkata apa-apa.

“Takdir Allah menyebelahi saya dan keluarga kerana kami lewat sampai ke situ. Kalau tidak, saya sendiri tidak pasti bagaimana nasib kami. Mungkin kami ikut 'pergi' bersama-sama mereka. Apapun, sumbangan yang sepatutnya saya serahkan akan tetap diberikan,” katanya.

myMetro
23 Mei 2011


‘Nak jumpa opah’

IPOH: “Sebelum ini, arwah ada menyatakan hasrat untuk pulang bercuti dan bertemu dengan opahnya (nenek) yang kini berada di sini (Kampung Pasir Puteh, Ipoh) dan Kuala Kangsar namun, hajat itu tidak kesampaian,” kata Zamri Mohd Kassim, 48, bapa kepada Zahid Assawal, 19, salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, Selangor petang kelmarin.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Zahid Assawal bersama 15 penghuni rumah anak yatim itu maut selepas terperangkap dalam insiden tanah runtuh yang tiba-tiba menghempap sebuah dewan serbaguna, tempat di mana semua mereka berkumpul kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan hampir 30 penghuni bersama guru berada di sebuah dewan serba guna itu untuk menjalani latihan penuh persembahan nasyid sempena satu majlis serahan bantuan peribadi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Finas, Fatimah Ahmad, yang dijadualkan jam 5 petang pada hari kejadian.

Zamri yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh, di sini, semalam berkata, arwah anaknya pernah menyatakan hasrat kepadanya untuk pulang bercuti di kampung.

Beliau berkata, sejak berada di bawah jagaan datuk angkat di rumah anak yatim itu tiga tahun lalu, arwah tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan di kediaman anak yatim itu.

“Dia (arwah) berada di bawah jagaan Haji Ahmad iaitu salah seorang pengendali rumah anak yatim itu. Arwah seronok berada di sana kerana ramai kawan, malah turut berpeluang mempelajari pelbagai ilmu agama.

“Saya juga difahamkan, Zahid adalah penyanyi solo kumpulan nasyid bagi rumah anak yatim itu. Kali terakhir saya menemuinya dua minggu lalu ketika berada di pengebumian saudara di Muar, Johor,” katanya.

Katanya, dia mengetahui kejadian itu kira-kira jam 6 petang kelmarin selepas dimaklumkan seorang rakan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Zamri berkata, sebaik tiba kira-kira jam 7 malam, dia terus bergegas ke kawasan runtuhan itu dan berjaya masuk biarpun cuba dihalang sepasukan anggota mencari dan menyelamat.

Katanya, ketika itu, anggota penyelamat sedang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat baki mangsa yang masih terperangkap.

“Saya sempat melakukan solat taubat dan hajat sebelum mayat arwah akhirnya berjaya ditemui kira-kira jam 11 malam. Arwah ditemui dalam keadaan seluruh badan terperangkap dalam tanah selain kesan lebam di muka dan dahi,” katanya.

Sementara itu, ibu Zahid Assawal, Wan Zarina Mohd Zainuddin, 46, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah pada April tahun lalu ketika dia pulang selepas mengerjakan umrah.

myMetro
23 Mei 2011


Tak mohon bina pusat jagaan

KUALA LUMPUR: Pemilik Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat, dekat sini tidak pernah mengemukakan permohonan untuk membina pusat jagaan berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan itu iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Yang Dipertua MPKJ, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman berkata, berdasarkan rekod, tiada sebarang permohonan membangunkan tapak terbabit memandangkan ia berstatus tanah pertanian sejak 15 tahun lalu.

“Ia tanah di kawasan luar bandar yang diusahakan untuk sektor pertanian. Mengikut rekod kami, tiada permohonan untuk membina pusat jagaan kerana MPKj sendiri baru beroperasi sebagai PBT 14 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

“Sejak itu, kami tidak pernah terima apa jua permohonan di atas tanah berkenaan,” katanya Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu kajian cerun dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum mengambil tindakan susulan bagi meneliti punca berlakunya kejadian itu bagi mengelakkan ia berulang pada masa depan.

Menurutnya, selain laporan kajian itu, pihaknya akan membuat semakan ke atas struktur bangunan berkenaan sama ada selamat digunakan atau sebaliknya.

“Jika didapati tidak selamat, kami akan mencadangkan ia dirobohkan serta-merta bagi mengelak kecelakaan sama berulang,” katanya.

myMetro
23 Mei 2011


Petanda mimpi 

KAMPUNG AWAH - “Saya sememangnya amat merindukan arwah dan mimpi yang sama sebanyak tiga kali ini menyebabkan saya rasa gusar kerana arwah datang dalam keadaan sedemikian,” kata Nurhayati Kasim, 46.

Ibu kepada seorang mangsa kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat kelmarin, tidak menyangka mimpi dialami memberi petanda akan kehilangan anak tersayang.

Nurhayati yang kehilangan anak keempat daripada lima beradik, Ahmad Lokman Hakim Abd Satar, 11, berkata, beliau didatangi tiga mimpi sama dalam tempoh seminggu sebelum kejadian yang turut meragut 15 penghuni lain itu berlaku.

Menurutnya, dalam mimpi itu, arwah anaknya yang berpakaian lengkap jubah putih datang mencium tangan dan memeluk beliau dengan wajah tersenyum.

“Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa, namun saya bersyukur melihat keadaan arwah yang tersenyum dengan wajah tenang,” katanya.

Nurhayati berkata, arwah anaknya mendaftar masuk ke rumah anak yatim itu pada Disember lalu atas kehendak sendiri selepas diajak seorang sepupu yang muda usia daripadanya.

Menurutnya, pada permulaan, beliau berat hati untuk memenuhi permintaan arwah memandangkan lokasi rumah anak yatim itu terletak di Selangor.

“Selepas kematian suami, saya berpindah ke Kampung Berhala Gantang, Temerloh.

“Arwah suami mengamanahkan supaya semua anak kami diberi pendidikan agama maka saya bersetuju menghantar arwah Ahmad Lokman ke rumah anak yatim itu,” katanya.

Menurut Nurhayati, kali terakhir beliau bertemu arwah anaknya itu adalah pada Mac lalu ketika sesi perjumpaan ibu bapa bersama pihak pengurusan rumah anak yatim.

Menurutnya, arwah anak menunjukkan perubahan positif dan meluahkan rasa gembira menjalani kehidupan di rumah anak yatim itu.

“Arwah anak tidak henti-henti menceritakan kegembiraannya belajar bersama rakan-rakan sehingga saya tersentuh hati melihat gelagatnya,” katanya.

Nurhayati berkata, beliau merancang untuk menghubungi arwah pada 29 Mei ini kerana penjaga hanya dibenarkan menelefon anak masing-masing pada setiap ahad minggu keempat.

Dia berkata, kejadian tanah runtuh itu diketahui kira-kira jam 3 petang ketika menonton laporan berita di televisyen namun laporan tersebut tidak menyebut perkataan at-Taqwa pada nama rumah anak yatim itu.

Menurutnya, lokasi kejadian dan nama rumah anak yatim itu seperti biasa didengari beliau namun tidak menyangka ia adalah tempat di mana anaknya sedang belajar.

“Kemudian, sepupu saya yang berada di Selangor menghubungi dan memberitahu bahawa anak saya turut terlibat dalam kejadian itu.

“Tiada apa yang mampu saya katakan selain mengucap panjang namun reda dengan ketentuan Ilahi” katanya.

Jenazah Ahmad Lokman tiba di perkarangan masjid Felda Kampung Awah pada jam 11.30 pagi dan dikebumikan di tanah perkuburan tanah rancangan itu di mana arwah bapanya disemadikan.

Sinar Harian
23 Mei 2011


Mangsa tanah runtuh stabil tetapi trauma

KUALA LUMPUR: Keadaan sembilan mangsa yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat kelmarin semakin stabil tetapi masih trauma mengingatkan tragedi yang mengorbankan 16 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak.

Seorang petugas Hospital Ampang berkata, enam mangsa dirawat di wad biasa manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Tiga di ICU kini stabil dan bertambah baik," katanya.

Kejadian tanah runtuh pada 2.30 petang kelmarin di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah At-Taqwa di Hulu Langat itu mengorbankan 16 nyawa.

Mangsa yang terselamat, Aizat Khusairi, 13, yang ditemui di hospital itu berkata beliau masih kedengaran suara jeritan kanak-kanak lain ketika tragedi itu.

Aizat Khusairi yang patah tangan kiri, berkata separuh badannya tertimbus di dalam tanah dan dapat dikeluarkan dua jam kemudian.

"Saya memang tinggal di rumah itu. Sekarang makcik yang menjaga saya. Tak tahu bila saya akan pulang dari sini," katanya.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Mohd Harris Izzuddin Sahrul, 11, juga bertambah pulih berbanding semalam.

Ibunya, Norizah Ibrahim, berkata anak sulungnya yang cedera di bahagian kaki itu mula melebarkan senyuman hari ini. - BERNAMA

23 Mei 2011


Ibu sempat beli MP3 untuk hafazan

HULU LANGAT: “Saya sempat belikan arwah sebuah MP3 untuk digunakan semasa belajar hafazan di madrasah dan itulah permintaan terakhirnya sewaktu bertemu pada Mac lalu.

“Saya terharu kerana sewaktu mencuci pakaian yang dipakai arwah ketika kejadian, saya menjumpai alat berkenaan dalam poket seluarnya,” kata Norliayah Mohd Raus, 42, ibu kepada Nurrahimi Rosdi, 14, pelajar yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di sini, Sabtu lalu.

Katanya, kali terakhir bertemu arwah Mac lalu dan tidak menyangka ia pertemuan yang terakhir.

“Sewaktu pertemuan itu, arwah tidak menunjukkan tanda pelik tetapi kelihatan agak murung walaupun arwah seorang remaja yang ceria.

“Walaupun terkilan sudah hampir dua bulan tidak bertemu dengan arwah, tapi saya reda dengan pemergiannya kerana sewaktu kejadian, arwah sedang membuat kerja untuk satu majlis amal,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada waris dan mangsa tragedi tanah runtuh itu, semalam.

Dalam majlis itu, dia menerima RM10,000 disumbangkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Sumbangan saya peroleh hari ini memang tidak boleh menggantikan nyawa anak saya, tetapi keprihatinan pihak berwajib menjadikan saya lebih kuat menempuh hari-hari mendatang tanpa anak di sisi,” katanya.

Norliayah berkata, sumbangan itu akan digunakan sebaiknya dengan mengadakan tahlil untuk arwah dan berniat untuk mengerjakan haji bagi pihak anaknya itu selain sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

myMetrio
24 Mei 2011


Pasukan penyelamat sedih lihat mayat kanak-kanak bertindih

KAJANG: "Menitis air mata apabila melihat mayat anak-anak ini bertindih antara satu sama lain," kata anggota bomba Khairul Rizal Hassan.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Kuala Lumpur, berkata apa yang dilihat itu akan menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang hidupnya.

"Saya menyertai operasi menyelamat bermula pada hari kejadian lagi, melihat mayat kanak-kanak ini membuatkan hati saya pilu.

"Apatah lagi ada mangsa yang cedera teruk akibat dihempap batu sehingga terpaksa dipotong kakinya," katanya ketika ditemui di lokasi tanah runtuh di FELCRA Semungkis, Hulu Langat di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh ini adalah tragedi yang paling teruk dan menyayat hati sepanjang tahun ini.

"Jika sebelum ini operasi menyelamat yang saya sertai membabitkan mangsa golongan dewasa, tetapi melihat nasib kanak-kanak ini dan bilangan korban yang besar...ia satu perkara yang tidak dapat dilupakan.

"Walaupun sedih ketika itu tetapi sebagai anggota penyelamat kita perlu bersikap profesional dan perlu menjalankan tugas sehingga selesai," katanya yang bertugas sebagai anggota bomba selama 16 tahun.

Bagi Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, Dr Che Hassandi Abdullah, perasaan sedih mengenai tragedi itu menyelubungi jiwanya sehingga hari ini.

"Walaupun tugas menyelamat dipikul oleh anggota bomba, tetapi pasukan kami turut bekerjasama dengan mereka sejak hari pertama kejadian lagi.

"Sedih sangat apabila melihat kanak-kanak menjadi korban di depan mata kita sendiri dan kejadian itu tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila," katanya.

Sementara itu, pelakon, Tengku Sarina Tengku Muzani atau lebih dikenali sebagai Kuna, berkata tragedi yang menimpa anak-anak yatim itu membuka hatinya untuk datang dan melihat sendiri keadaan lokasi kejadian yang meragut 16 nyawa.

"Saya datang ke sini bersama rakan-rakan, saya bersimpati dengan keadaan mereka dan dengan itu saya juga datang untuk melawat anak-anak yang terselamat serta memberi sedikit sumbangan peribadi kepada mereka," katanya yang turut berkunjung ke Lembah Azwen Resort yang menjadi tempat perlindungan sementara bagi 24 kanak-kanak yang terselamat. - BERNAMA

24 Mei 2011


Anak ketua madrasah juga maut

HULU LANGAT 25 Mei - Tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa baru-baru ini bukan hanya meragut nyawa penghuni madrasah itu malah turut mengorbankan anak Ketua Pentadbiran dan Pembangunan di rumah berkenaan.

Muhammad Naerzeim, 8, anak kepada Mohd. Noor Ismail, 46, mayat pertama yang berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat dalam kejadian Sabtu lalu.

Mangsa merupakan murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua yang sering mengunjungi madrasah tersebut untuk mempelajari ilmu agama selain mendekati penghuni rumah berkenaan.

Mohd. Noor ketika ditemui berkata, tiada perasaan yang dapat digambarkan selain sayu dan pilu di saat melihat mayat anaknya diusung keluar dari timbunan tanah runtuh.

"Saya tidak dapat menahan rasa sedih ketika melihat mayat anak saya itu dikeluarkan. Saya kemudian kuatkan semangat untuk terus mencari mangsa-mangsa lain yang masih berada di bawah runtuhan tersebut," katanya ketika ditemui di penempatan sementara penghuni di Resort Lembah Azween hari ini.

Mohd. Noor berkata, madrasah itu merupakan antara perancangan dan projek di bawah kelolaan Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia.

"Sebelum ini kami telah merancang untuk membina beberapa rumah yang menempatkan anak-anak yatim. Bagaimanapun ini merupakan rumah pertama berjaya dibina.

"Penubuhan madrasah ini mula dirancang sejak 1997 namun ia hanya menjadi kenyataan pada 2002 hasil titik peluh persatuan ini," katanya.

Utusan
25 Mei 2011

1 comment:

  1. Salam.

    Saya Nik Mohd Afiq dari UiTM. saya sedang menjalankan kajian berkenaan kejadian tanah runtuh ini. boleh kah kalau saya ingin meminta pertolongan dari pihak tuan/puan untuk berkongsi gambar gambar yang terdapat di dalam post ini bersama saya. saya ingin mengambil gambar ini, tetapi die low resolution. saya memerlukan gambar yang high resolution. saya amat berharap pihak tuan/puan dapat memberi kerjasama.

    Terima Kasih

    ReplyDelete